Azzurri genggam tiket Euro

Azzurri genggam tiket Euro

BAKU, Azerbaijan, 12 Okt – Itali yang berwajah baru memastikan tiket ke Euro 2016 dengan baki satu perlawanan selepas menewaskan Azerbaijan 3-1 dalam aksi Kumpulan H semalam.

Penyerang Sampdoria, Eder membuka tirai jaringan Itali selepas 15 minit dan biarpun Azerbaijan menyamakan kedudukan menerusi Dmitri Nazarov pada minit ke-30, penyerang Monaco, Stephan El Shaarawy meletakkan Itali di depan sebelum tamat separuh masa.

Pertahanan Manchester United, Matteo Darmian terus memberikan Itali ruang selesa menerusi jaringan hebat pada minit ke-65 sekali gus menyumbat gol sulung bersama Azzurri.

Itali tidak berdepan masalah pada baki perlawanan dan mungkin menambah jaringan jika Badavi Huseynov tidak merampas bola pemain gantian Sebastian Giovinco pada separuh masa kedua ketika penyerang Toronto itu dilihat berpeluang menjaringkan gol.

Huseynov dilayangkan kad merah menyebabkan Azerbaijan beraksi dengan 10 pemain pada dua minit terakhir.

Pemain Itali, Riccardo Montolivo (dua kiri) bersaing dengan pemain Azerbaijan, Magomed Mirzabekov (dua kanan) pada kelayakan Kumpulan H Euro 2016 di Baku, Azerbaijan. – AFP
Pemain Itali, Riccardo Montolivo (dua kiri) bersaing dengan pemain Azerbaijan, Magomed Mirzabekov (dua kanan) pada kelayakan Kumpulan H Euro 2016 di Baku, Azerbaijan. – AFP

Itali yang tewas pada final pada Euro 2012 kekal pendahulu Kumpulan H dengan 21 mata hasil sembilan perlawanan, dua mata mengatasi Norway menjelang perlawanan kedua-dua pasukan di Rome, awal pagi Rabu.

Biarpun dilaporkan Antonio Conte tidak akan melanjutkan kontraknya selepas Euro 2016, jurulatih berusia 46 tahun itu terus menghamburkan pujian.

“Siapa yang fikir semua ini mudah adalah silap, ia memerlukan kerja keras tapi kami puas hati,” kata Conte.

“Ini kemenangan sebenar untuk seluruh skuad. Mereka kelompok pemain muda yang masih berkembang, namun kami satu pasukan bukan sekumpulan pemain dengan bakat individu.

“Hari ini kami mempamerkan sepintas lalu kualiti yang ada, kami tidak boleh menamatkannya dengan cara lain.” – AFP