B-14 M’sia layak ke separuh akhir

B-14 M’sia layak ke separuh akhir

KUALA LUMPUR, 26 (Bernama) – Malaysia layak ke separuh akhir Kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Remaja Perempuan Bawah 14 Tahun peringkat Zon ASEAN selepas seri 2-2 dengan Filipina pada perlawanan terakhir Kumpulan B di Hanoi, Vietnam, hari ini.

Keputusan tersebut sudah memadai buat anak didik Zhang Hong untuk melangkah ke separuh akhir dengen perbezaan gol yang lebih baik dengan Filipina walaupun kedua-dua pasukan itu menamatkan saingan peringkat kumpulan dengan enam mata selepas tiga perlawanan.

Pada perlawanan hari ini, Catherine Pardilla meletakkan Filipina di hadapan dengan jaringan pada minit ke-16 sebelum Malaysia menyamakan kedudukan menerusi Anis Aishah Asiati Raili, dua minit kemudian.

Nor Athirah Mamat meletakkan Malaysia di hadapan pada minit ke-35 namun pemain pertahanan negara, Rosdianah Adeline Jerus menjaringkan gol sendiri pada minit ke-70 untuk membolehkan Filipina berkongsi mata.

Bagaimanapun, Malaysia akan mengharungi laluan getir pada separuh akhir apabila berdepan dengan juara bertahan Thailand, Sabtu ini.

Thailand mengekalkan rekod tanpa kalah apabila membelasah Myanmar 7-1 pada perlawanan terakhir Kumpulan A.

Dalam satu lagi saingan Kumpulan B, Vietnam muncul juara kumpulan selepas mengekalkan rekod tanpa kalah dengan menewaskan Singapura 6-1.

Vietnam akan bertemu Myanmar pada perlawanan separuh akhir, Sabtu ini.

ARTIKEL YANG SAMA