B-19 DPMM FC Bermula Garang

B-19 DPMM FC Bermula Garang

Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Sept – Pasukan Bawah 19 Tahun (B-19) DPMM FC bermula garang dalam Kejohanan Bola Sepak 4-Penjuru anjuran Sekolah Sukan 2015 apabila memanfaatkan sepenuhnya kelebihan umur dan fizikal mereka untuk menewaskan B-14 Akademi Bola Sepak Sekolah Sukan Brunei (BSSSA) dengan jaringan 11-0.

Bagaimanapun dalam perlawanan di Padang Bola Sepak Sekolah Sukan, Kampung Pulaie itu, B-14 BSSSA di sebalik umur dan badan mereka yang cilik tetap berjaya memberikan tentangan hebat menggagalkan lawan daripada membolosi mereka dengan lebih banyak lagi.

Paling menyerlah adalah pemain pertahanan tinggi lampainya, Awangku Ahmad Taufik bin Tarmizi yang banyak kali berjaya mencuri bola daripada pemain sayap dan penyerang B-19 DPMM FC sebelum mereka berjaya masuk ke dalam petak ataupun melakukan hantaran lintang ke dalam petak.

Turut mencuri tumpuan adalah penjaga gol B-14 BSSSA yang walaupun nampak rendah berbanding rakan-rakan sepasukannya, banyak kali berjaya menyelamatkan bola daripada membolosi gawangnya.

Penjaga gol B-14 BSSSA bertindak cemerlang menghalang bola hantaran lintang Nizamuddin (7) daripada ditanduk mudah Muhd Na’im.
Penjaga gol B-14 BSSSA bertindak cemerlang menghalang bola hantaran lintang Nizamuddin (7) daripada ditanduk mudah Muhd Na’im.

Namun daya kedua-dua mereka masih tidak berupaya untuk menghalang serangan bertali arus B-19 DPMM FC daripada membuahkan hasil, bermula dengan sepakan kencang luar petak ketua pasukan B-19 DPMM FC, Muhd Azim Izamuddin bin Haji Suhaimi yang menerjah sudut bawah sebelah kanan gawang B-14 BSSSA pada minit ke-5.

Lima minit kemudian kedudukan menjadi 2-0 apabila Muhd Na’im bin Haji Tarif mudah menyepak bola ke gawang terbuka B-14 BSSSA setelah menerima hantaran lintang rakannya, Nizamuddin bin Haji Ismail di sayap kanan.

Gol ketiga B-19 DPMM FC hadir pada minit ke-21 menerusi tendangan lambung Tom Ellis yang melemaskan penjaga gol B-14 BSSSA yang berdiri agak jauh dari garis golnya, disusuli gol keempat menerusi gerakan solo Mohd Adib bin Suimi dari sayap kiri yang berjaya masuk ke dalam petak, mengelecek penjaga gol B-14 BSSSA dan merembat bola masuk.

Sebelum 35 minit masa penuh separuh masa pertama berakhir, DPMM FC B-19 sempat menghasilkan satu lagi gol menerusi sentuhan Abang Nor Hilman bin Abang Nor Hillmy setelah menerima hantaran daripada Nizamuddin.

Separuh masa kedua menyaksikan DPMM FC menambah enam gol lagi bermula dengan gol keenam menerusi pemain pertahanannya, Md Hanif bin Hamir, disusuli oleh Brian Lim Yong Song bagi gol ketujuh dan kesembilan, mengapit gol kelapan yang dihasilkan oleh Muhd Aiman Izzuddin bin Abdullah.

Kedua-dua gol terakhir DPMM FC B-19 pula dijaringkan oleh Abdul Afiq bin Roslan untuk catatan kemenangan 11-0 DPMM FC B-19 ke atas BSSSA B-14 membuka tirainya kelmarin dengan pertembungan antara Sekolah Sukan Bawah 15 Tahun (B-15) dengan Politeknik Brunei.

Kejohanan yang berlangsung di padang bolasepak Sekolah Sukan, Kampung Pulaie berkenaan bertujuan memberikan pendedahan dan masa permainan kompetitif kepada para pemain muda Sekolah Sukan dan Akademi Bola Sepak Sekolah Sukan Brunei.

Empat buah pasukan yang menyertainya ialah 2015, Sekolah Sukan B-15, DPMM FC B-19 dan Politeknik Brunei.