B-23 M’sia benam Brunei

B-23 M’sia benam Brunei

SINGAPURA, 9 Jun (Bernama) – Skuad Bawah 23 (B-23) Malaysia melakar kemenangan kedua pada Sukan SEA 2015 setelah mengalahkan pasukan Brunei 2-0 dalam aksi keempat kumpulan B acara bola sepak di Stadium Bishan, di sini, semalam.

Kemenangan tersebut, bagaimanapun tidak memberi sebarang makna kepada skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu yang sudah tersingkir daripada perebutan tempat ke separuh akhir pada temasya sukan dwitahunan itu selepas mengalami dua kekalahan berturut-turut kepada Vietnam dan Thailand, sebelum ini.

Pada aksi malam ini, dua gol skuad B-23 negara dijaringkan oleh pemain gantian, Muhammad Nurridzuan Abu Hassan Saari pada minit ke-71 dan Adam Nor Azlin, selang enam minit kemudian.

Untuk rekod, Malaysia meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas Timor Leste pada 30 Mei sebelum diaibkan 1-5 oleh Vietnam pada 2 Jun dan kalah 0-1 kepada Thailand, selang dua hari kemudian.

Sementara itu, pasukan tuan rumah Singapura kembali menghidupkan peluang ke separuh akhir selepas melakar kemenangan selesa 3-1 ke atas Kemboja pada aksi ketiga kumpulan A di Stadium Jalan Besar, malam ini.

Aksi menarik skuad B-23 Negara Brunei Darussalam ketika menentang Malaysia di Stadium Bishan, semalam. – Infofoto
Aksi menarik skuad B-23 Negara Brunei Darussalam ketika menentang Malaysia di Stadium Bishan, semalam. – Infofoto

Tiga gol skuad ‘Singa Muda’ itu dijaringkan oleh Safirul Sulaiman dan Muhammad Faris Ramli, masing-masing pada masa tambahan separuh masa pertama dan Muhammad Sahil Suhaimi pada minit ke-90 manakala gol tunggal Kemboja menerusi Chan Vathanaka pada minit ke-57.

Singapura perlu mencatat kemenangan ke atas Indonesia di Stadium Jalan Besar pada 11 Jun ini, sekiranya berhasrat mengiringi Thailand, Vietnam dan Myanmar ke peringkat separuh akhir.

ARTIKEL YANG SAMA