B.T. Forwarding pertahan kejuaraan

B.T. Forwarding pertahan kejuaraan

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Mei – Pasukan B.T. Forwarding sekali lagi berjaya mempertahankan kejuaraan tahun lalu di dalam Kejohanan Bola Jaring Sukan Ria Antara Syarikat apabila menewaskan pencabar terdekatnya Pasukan Bank Standard Chartered (SCB).

Pada separuh masa pertama Pasukan B.T. Forwarding tampak gugup apabila banyak melakukan kesilapan dan memberikan laluan kepada barisan pemain SCB mencuri mata demi mata meninggalkan Pasukan B.T. Forwarding.

Namun semangat cekal pemain B.T. Forwarding perlu diberikan pujian apabila berjaya menebus semula kedudukan dan memaksa Pasukan SCB untuk bermain pada masa tambahan yang semakin rancak antara kedua-dua finalis.

Pasukan SCB pada akhir babak kedua masa tambahan banyak melakukan kesilapan di bahagian hadapan apabila banyak lontaran masuk ke dalam D B.T. Forwarding dihalang penjaga gol dan pemain pertahanan B.T. Forwarding dan sekali gus memberikan peluang kepada serangan yang dikemudi ketua pasukannya Nurafiqah @ Fatin Najlaa Samat mencuri peluang dan menambah mata yang akhir disimpul pada mata 30-26.

Selepas perlawanan ketika ditemui, Ketua Pasukan B.T. Forwarding menegaskan perasaan terharu melihat semangat juang rakan sepasukannya dan mengakui perasaan gementar apabila mengetahui SCB menjadi saingan di peringkat akhir.

Kedua-dua finalis Kejohanan Bola Jaring Sukan Ria Antara Syarikat selepas perlawanan akhir tersebut.
Kedua-dua finalis Kejohanan Bola Jaring Sukan Ria Antara Syarikat selepas perlawanan akhir tersebut.

“Kami tahu SCB adalah pasukan yang kuat dan pada hari pertama lagi saya secara peribadi dapat rasakan yang SCB akan menjadi pesaing yang digeruni jika berada di peringkat akhir, namun kami mengambil peluang atas kesilapan yang mereka lakukan dan manfaatkan peluang untuk berada di depan,” tegasnya lagi.

Beliau yang mengalami sedikit kecederaan di bahagian lutut sangat bersyukur kerana berpeluang menghabiskan perlawanan tanpa kecederaan yang serius kerana selepas ini akan mempunyai komitmen bersama skuad kebangsaan yang turut disertainya.

Mengulas mengenai tekanan selaku juara bertahan, beliau menegaskan kebanyakkan rakan sepasukannya adalah pemain baru dan kurang berpengalaman namun menurutnya kelebihan ada pada mereka kerana mereka mempunyai persefahaman dan ‘Click’ dalam perlawanan akhir hari ini.

“Saya sangat hormat akan Pasukan SCB kerana memberikan kami tekanan yang hebat dan itulah perlawanan yang sangat kami gemari dan jika kami kurang fokus pada perlawanan tadi pasti SCB akan merampas kejuaraan tahun ini,” ujarnya lagi.

Sebelum itu Pasukan SCB menewaskan finalis tahun lalu Pasukan DST yang terpaksa akur di tempat keempat setelah tewas di tangan Pasukan Bank Baiduri yang berada di tempat ketiga setelah Pasukan Bank Baiduri ditewaskan B.T. Forwarding di peringkat separuh akhir.

ARTIKEL YANG SAMA