B2K hulur sumbangan buku

B2K hulur sumbangan buku

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 28 Sept – Sebanyak enam buah buku terbitan Badan Kesenian dan Kebudayaan (B2K) Daerah Tutong telah disumbangkan ke setiap perpustakaan di 24 buah sekolah rendah di Daerah Tutong, petang tadi.

Penyampaian buku-buku berkenaan yang diadakan di Bilik Mesyuarat, Jabatan Sekolah-sekolah (JSS) Daerah Tutong di Jabatan-jabatan Kerajaan Daerah Tutong itu disempurnakan oleh Pegawai Kluster 5, JSS Daerah Tutong, Haji Zulkifli bin Haji Ahmad kepada guru besar dan wakil sekolah-sekolah rendah di daerah itu.

Antara buku-buku berkenaan ialah empat buah buku berbentuk puisi/sajak yang disumbangkan oleh Mantan Yang Di-Pertua B2K Daerah Tutong, Allahyarham Haji Yahya bin Bendahari Haji Ghafar, sebuah buku prosiding seminar Gema Puisi Merdeka oleh Dr. Awang Chong Ah Fok dan sebuah buku mengenai sejarah penubuhan B2K.

Ketua B2K Daerah Tutong, Dr. Awang Chong Ah Fok semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya berkata, antara tujuan sumbangan itu adalah untuk memberi peluang khususnya kepada para pelajar agar menghargai hasil sumbangan penulis tempatan dan menggalakkan mereka untuk berfikiran lebih kreatif.

Haji Zulkifli ketika menyampaikan sumbangan buku-buku bagi pihak B2K Daerah Tutong kepada salah seorang wakil sekolah.
Haji Zulkifli ketika menyampaikan sumbangan buku-buku bagi pihak B2K Daerah Tutong kepada salah seorang wakil sekolah.

Beliau juga berharap agar beberapa buah buku sajak yang disumbangkan itu juga dapat digunakan dalam latihan pengajaran atau dijadikan persembahan pantomin dan sketsa dalam pembelajaran para pelajar.

Majlis penyerahan buku-buku berkenaan adalah sebagai kesinambungan bagi majlis penyampaian sumbangan buku-buku kepada Perpustakaan Sekolah-sekolah Menengah di Daerah Tutong yang diadakan semasa Pertemuan Penulis Daerah Tutong kali kedua bagi Tahun 2016 pada 27 Ogos lalu di Pusat Tingkatan Enam Tutong.

ARTIKEL YANG SAMA