B2K Tutong anjur malam membaca puisi

B2K Tutong anjur malam membaca puisi

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 31 Mac – Bersempena Hari Puisi Sedunia tahun ini, Bahagian Bahasa dan Sastera, B2K Daerah Tutong, semalam, mengadakan Majlis Malam Baca Puisi di salah sebuah rumah penyair tempatan, Haji Moksin bin Haji Kadir (K.Manis), Lamin Sastera di Kampung Tanjong Maya, Tutong.

Hadir pada majlis itu ialah Ketua Bahagian Bahasa dan Sastera, B2K Daerah Tutong, Dr. Chong Ah Fok.

Dr Chong Ah Fok dalam ucapannya menjelaskan, majlis yang diadakan ini adalah bagi menyambut Hari Puisi Sedunia yang disambut setiap 21 Mac, yang mana sambutan ini bermula sejak diisytiharkan oleh UNESCO pada tahun 2000.

Antara tujuan majlis itu diadakan adalah untuk memberikan penghargaan atau pengiktirafan akan kepentingan puisi serta menggalakkan penerbit kecil atau penyair-penyair tempatan untuk menerbitkan puisi.

Penyair-penyair tempatan bergambar ramai sebagai tanda kenangan berkumpul bagi Majlis Malam Baca Puisi bersempena Sambutan Hari Puisi Sedunia.
Penyair-penyair tempatan bergambar ramai sebagai tanda kenangan berkumpul bagi Majlis Malam Baca Puisi bersempena Sambutan Hari Puisi Sedunia.

Majlis turut dihadiri oleh beberapa orang penulis puisi Daerah Tutong seperti Abdullah Tahir, Shaharah A.Wahab, Dino M.N, Noorhamy, Rohaidah Kinchai, Eyuman, Muhaini, Zeffri Ariff dan ramai lagi bagi menyampaikan puisi mereka pada malam itu.Turut memeriahkan lagi penyampaian puisi ialah penyair-penyair daripada Kumpulan Amas Tampawan dan ahli Kumpulan Putera Seni.

Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderamata daripada Dr. Chong Ah Fok kepada tuan rumah, K. Manis sebagai tanda penghargaan.

ARTIKEL YANG SAMA