‘Babak baru’ Iran

‘Babak baru’ Iran

TEHRAN, 17 Jan – Iran telah ‘membuka babak baru’ dalam hubungannya bersama dunia, kata Presiden Hassan Rouhani hari ini, beberapa jam selepas sekatan dibatalkan di bawah perjanjian nuklear bersejarahnya dengan kuasa-kuasa global.

Pemerhati atom PBB lewat kelmarin mengesahkan bahawa Iran telah mematuhi kewajipannya di bawah persetujuan musim panas lepas dan Amerika Syarikat serta Kesatuan Eropah mengumumkan mereka telah membatalkan sekatan yang telah bertahun-tahun melumpuhkan ekonomi negara itu.

Kerajaan-kerajaan Barat telah mengalu-alukan pengumuman itu sebagai peristiwa penting walaupun beberapa pengkritik, termasuk Israel, mengatakan Tehran masih berusaha untuk membangun senjata nuklear.

Pengumuman itu dibuat berikutan berita pertukaran banduan antara Iran dan Amerika Syarikat yang termasuk pembebasan koresponden Washington Post, Jason Rezaian, dalam petanda lain menunjukkan hubungan antara sekutu lamanya menjadi kurang dingin.

Hassan Rouhani menghadiri sesi di parlimen Iran untuk menyampaikan draf bajet bagi tahun fiskal Iran akan datang di Tehran pada 17 Januari 2016. - Reuters
Hassan Rouhani menghadiri sesi di parlimen Iran untuk menyampaikan draf bajet bagi tahun fiskal Iran akan datang di Tehran pada 17 Januari 2016. – Reuters

Rouhani, yang kemenangan pilihan raya 2013 telah membantu melancarkan usaha diplomatik besar ke arah pemeteraian perjanjian pada 14 Julai di Vienna, mengatakan pengimplementasian persetujuan itu tidak menjejaskan mana-mana negara.

“Kami warga Iran telah menjangkaui dunia….telah membuka babak baru dalam hubungan Iran dengan dunia,” agensi berita rasmi IRNA memetik Rouhani sebagai berkata.

Iran ‘bukan lagi ancaman kepada mana-mana kerajaan atau negara’. Persetujuan itu, katanya, “bukan satu kerugian kepada sebarang negara.”

Rouhani, yang telah berjanji bahawa 2016 akan menjadi ‘tahun kemakmuran’ bagi warga Iran, akan memberi sidang akhbar hari ini selepas menyampaikan bajet tahun ini.

Ketua dasar luar negeri EU, Federica Mogherini, mewakili enam kuasa dunia, mengumumkan pembatalan sekatan ‘berbilang pihak dan negara’ di Vienna, mengatakan perjanjian itu menunjukkan bahawa diplomasi hebat boleh diselesaikan walaupun ‘isu-isu paling sukar’.

Amerika Syarikat membatalkan beberapa sekatan, dengan Setiausaha Negara, John Kerry mengatakan di Vienna: “Amerika Syarikat, rakan dan sekutu kami di Timur Tengah, dan keseluruhan dunia adalah selamat kerana ancaman daripada senjata nuklear telah dikurangkan.”

Pembatalan sekatan itu akan membolehkan Iran untuk menyambung semula pengeksportan minyak secara meluas, sudah lama menjadi nadi kepada ekonominya meskipun Rouhani sudah pun beralih daripada bergantung kepada minyak mentah untuk membiayai bajetnya.

Perjanjian itu juga akan membuka perniagaan dalam negara yang memiliki penduduk seramai 79 juta orang itu. – AFP