BAC ASEAN lapor empat isu kritikal

BAC ASEAN lapor empat isu kritikal

KUALA LUMPUR, 30 April – Majlis Penasihat Perniagaan dan ASEAN (ASEAN-BAC) menekankan empat isu kritikal kepada pemimpin ASEAN, termasuk penubuhan bank serantau dan pemansuhan halangan bukan tarif, ke arah pembentukan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC).

Majlis itu juga mengetengahkan usaha memperkukuh penyepaduan dan penambahbaikan inisiatif sektor kewangan bagi meliberalisasikan perkhidmatan profesional,” kata Pengerusinya Tan Sri Dr Mohd Munir Abdul Majid, hari ini.

“Cadangan kami meliputi langkah jangka pendek iaitu ASEAN melaksanakan AEC sekarang dan melancarkannya secara rasmi pada November,” katanya.

Bercakap kepada media mengenai laporan BAC ASEAN kepada Pemimpin ASEAN pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-26 yang baru berakhir, beliau berkata bank serantau akan meningkatkan akses kewangan untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (MSME).

Munir berkata bank MSME serantau, yang akan diurus pada asas komersil, perlu diperakui bagi memastikan ia memenuhi syarat kolateral rentas sempadan.

“Bank bukan sahaja menyediakan kemudahan kewangan konvensional, malah aktif dalam melakukan inisiatif perbankan pelaburan.

“Inisiatif ini termasuk penerbitan instrumen hutang dan ekuiti atau hutang swasta,” katanya.

Mengenai sektor penyepaduan yang utama, Munir berkata pembuat dasar mesti memberi perhatian ke atas transaksi elektronik dalam e-ASEAN dan penjagaan kesihatan, selain produk kayu, getah dan berasaskan pertanian, tekstil dan pakaian, perikanan, perjalanan udara dan pelancongan serta produk automotif.

“Penerbangan dan logistik memerlukan lebih banyak tumpuan bagi memastikan kecekapan dan pergerakan barangan dan penduduk yang lancar dan berdaya maju dari segi kewangan.

“Penubuhan pengawal udara trafik serantau serta pusat latihan juruterbang membantu daya maju dan daya saing sektor itu,” katanya.

Munir berkata majlis itu juga mencadangkan isu jangka panjang ASEAN pasca 2015 dengan fokus ke atas isu baharu dan pemboleh ubah ekonomi, dengan berkata infrastruktur perundingan yang diperakui bersama sangat penting untuk kejayaan pelaksanaan kesemua cadangan BAC ASEAN.

“Kami bercadang untuk mengambil beberapa langakh perlu bagi memperkenalkan dan mewujudkan Pusat Arbitrasi ASEAN selain Pendaftar ASEAN.

“Yang pertama berperanan sebagai pusat rujukan atau bantuan dalam urusan menyeragamkan tadbir urus arbitrasi manakala yang kedua bertindak sebagai pendaftar maklumat mengenai syarikat serantau yang beroperasi,” katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA