BAC terima Anugerah Emas SPIA 2016

BAC terima Anugerah Emas SPIA 2016

KUALA LUMPUR, 6 Okt – Badminton Asia (BAC) mendapat pengiktirafan apabila menerima Anugerah Emas di bawah kategori Program Sukan Belia Terbaik Tahunan dalam Persidangan dan Anugerah Industri Sukan Asia (SPIA) 2016.

BAC dalam kenyataannya semalam berkata anugerah itu disampaikan dalam majlis makan malam di Bangkok, Thailand dan Ketua Pegawai Operasi (COO) yang juga bekas Pengurus Besar Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Kenny Goh menerimanya bagi pihak BAC.

Badminton Asia yang juga badan induk sukan itu di Asia, dicalonkan antara lapan finalis bagi anugerah tersebut.

“Ini menunjukkan program pembangunan kami dipandang tinggi hasil pengiktirafan terhadap visi, rangka kerja yang mantap dengan pelaksanaan yang praktikal,” tambah kenyataan itu.

“Kami berterima kasih kepada anggota gabungan, penaja, rakan dan pemegang taruh yang sentiasa memberi sokongan dan kerjasama. Ini adalah kejayaan yang Badminton Asia mahu kongsikan dengan anda semua,” tambah BAC.

Anugerah SPIA mengiktiraf dan meraikan pencapaian yang dibuat oleh industri sukan di Asia yang telah menjadi destinasi utama bagi acara tempatan dan antarabangsa berskala besar yang meningkat dari tahun ke tahun dari segi kekerapan, saiz dan perbelanjaan.

Persidangan dua hari bertemakan ‘Perniagaan Sukan – Industri Sukan Asia Dalam Laluan Pantas II’ bertujuan memudahkan kerjasama dan membantu memacu amalan terbaik dalam industri.

Selain itu, ia juga menyediakan maklumat terkini dan penyelidikan dalam pemasaran sukan, tajaan, teknologi, penyiaran, perjalanan dan pelancongan, pemasaran serta pengurusan acara. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA