Bacaan ayat-ayat suci Al-Quran terus bergema

Bacaan ayat-ayat suci Al-Quran terus bergema

Oleh Yusrin Junaidi &

Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Jun – Ayat-ayat suci Al-Quran terus bergema menyemarakkan lagi bulan Ramadan di negara ini, menerusi majlis-majlis tadarus yang diadakan oleh ramai pihak termasuklah pelbagai kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan.

Antara kementerian yang menganjurkan majlis seumpamanya, kelmarin, ialah Kementerian Kewangan yang berlangsung di Masjid Kampung Pelambayan.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan II, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim.

Juga hadir ialah timbalan menteri kewangan, pengarah urusan Autoriti Monetari Brunei Darussalam (ABDB), timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan dan bahagian serta para pegawai dan kakitangan kementerian berkenaan.

Yang Berhormat Pehin Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman semasa mengikuti majlis tadarus di Masjid Kampung Pelambayan.
Yang Berhormat Pehin Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman semasa mengikuti majlis tadarus di Masjid Kampung Pelambayan.
Mufti Kerajaan semasa menyampaikan sumbangan wakaf berupa sebuah unit alat pembersih jet-air bertekanan tinggi kepada imam Masjid Kampung Pulaie.
Mufti Kerajaan semasa menyampaikan sumbangan wakaf berupa sebuah unit alat pembersih jet-air bertekanan tinggi kepada imam Masjid Kampung Pulaie.
Antara yang hadir pada majlis tadarus di Masjid Kampung Pulaie.
Antara yang hadir pada majlis tadarus di Masjid Kampung Pulaie.

Sementara itu, hari ini, rombongan dari JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya telah mengadakan majlis bertadarus di Masjid Kampung Pulaie, dikelolakan bersama oleh Jabatan Majlis-majlis Mesyuarat, Pejabat Peguam Negara, Bahagian Undang-undang dan Kesejahteraan di JPM, dan Biro Mencegah Rasuah dengan kerjasama Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Pulaie.

Hadir pada majlis tersebut ialah Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned; Timbalan Menteri di JPM, Dato Paduka Haji Mohd Roselan bin Haji Mohd Daud.

Turut hadir ialah Setiausaha-setiausaha Tetap di JPM, Awang Yahya bin Haji Idris dan Dato Paduka Haji Mohd Juanda bin Haji A. Rashid; Hakim-hakim Mahkamah Tinggi Syariah Yang Arif Dato Seri Setia Haji Zaimi bin Haji Talip dan Yang Arif Pengiran Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, dan ketua-ketua jabatan, para pegawai kanan serta kakitangan JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan penyampaian sumbangan wakaf berupa satu unit mesin fotokopi dan satu unit alat pembersih jet-air bertekanan tinggi yang disampaikan oleh Mufti Kerajaan kepada imam Masjid Kampung Pulaie.

Majlis juga diteruskan dengan bacaan Tahlil, Doa Arwah dan Doa Selamat, diikuti dengan majlis berbuka puasa serta Solat Fardu Maghrib berjemaah.

Majlis Bertadarus Al-Quran ini akan diteruskan di beberapa buah masjid di bulan Ramadan ini.

Di Daerah Belait pula, rombongan Kementerian Hal Ehwal, kelmarin, telah mengendalikan Majlis Tadarus Al-Quran berserta kefahaman Al-Quran melalui Tafsirannya yang berlangsung di Masjid Pekan Seria.

Majlis dihadiri oleh Setiausaha Tetap di Ke-menterian Hal Ehwal Ugama, Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Mohd Yusof selaku tetamu kehormat.

Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama hadir pada majlis tadarus di Masjid Pekan Seria.
Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama hadir pada majlis tadarus di Masjid Pekan Seria.

Pada majlis itu, acara diikuti dengan huraian Tafsir Al-Quran serta kesimpulannya yang disampaikan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Daerah Belait, Haji Haslan bin Haji Shahbudin.

Tafsiran Al-Quran dari Juzuk 3 Surah Al-Baqarah menjelaskan bahawa umat Islam digalakkan untuk mengamalkan bersedekah kerana banyak manfaat dan kelebihan yang kita dapat apabila kita bersedekah, antaranya ialah dapat mengundang rahmat dan penyebab Allah S.W.T membuka pintu rezeki.

Dalam inti sari tafsiran berkenaan menyentuh mengenai amalan bersedekah juga dapat memanjangkan umur, mencegah daripada mati yang teruk dan dengan bersedekah juga dapat menghapuskan sifat sombong, takbur, dan membangga diri.

Selain itu juga di akhirat nanti para dermawan akan mendapat perlindungan Arash Allah S.W.T ketika ramai umat manusia kepanasan yang amat dahsyat dan dijauhi daripada seksaan api neraka.

Majlis seterusnya, diteruskan dengan bacaan Tahlil dan Doa Arwah beramai-ramai dipimpin oleh imam masjid berkenaan.

Antara yang hadir pada majlis tadarus di Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah Kampung Sungai Akar.
Antara yang hadir pada majlis tadarus di Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah Kampung Sungai Akar.

Semalam, rombongan Jabatan Daerah Brunei dan Muara juga telah mengadakan Majlis Tadarus Al-Quran di Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah Kampung Sungai Akar.

Pada majlis itu, Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Misle bin Haji Abdul Karim mengetuai rombongan tadarus bersama pegawai dan kakitangan jabatan berkenaan.

Turut serta pada majlis yang juga bertujuan untuk melipat gandakan ibadah untuk meraih pahala daripada Allah itu ialah para penghulu mukim dan ke-tua-ketua kampung di Daerah Brunei dan Muara.

ARTIKEL YANG SAMA