BACH dilaksana sebelum akhir Mei

BACH dilaksana sebelum akhir Mei

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Mei – Sistem Brunei Automated Clearing House (BACH) yang membolehkan pembayaran elektronik runcit (electronic retail payments) antara bank-bank, dan penjelasan elektronik secara bulk (bulk electronic clearing) dijangka dilaksanakan sebelum akhir bulan ini, bermula dengan pemprosesan cek.

Perlaksanaan sistem tersebut akan menggalakkan lebih banyak kaedah pembayaran elektronik yang inovatif di Negara Brunei Darussalam, kata Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Selaras dengan Perintah AMBD, 2010 dan 2015, AMBD bertanggungjawab untuk membantu dalam perlaksanaan dan operasi sistem pembayaran yang cekap, dan penyeliaannya.

Selaras dengan objektif ini, fasa pertama Projek Sistem Pembayaran dan Penyelesaian Kebangsaan (NPSS) telah mula beroperasi pada bulan November 2014 dengan pelaksanaan Sistem Brunei Real Time Gross Settlement System (Brunei RTGS).

Sistem tersebut merupakan sistem pembayaran elektronik antara bank-bank yang pertama di Negara Brunei Darussalam. Fasa kedua Projek NPSS akan melibatkan perlaksanaan Brunei Automated Clearing House (BACH).

Bagi maklumat lanjut, orang ramai boleh memuat turun aplikasi AMBD secara percuma melalui ‘App Store’ bagi pengguna iPhone dan ‘Google Playstore’ bagi pengguna Android; atau melayari laman web AMBD di http://www.ambd.gov.bn

ARTIKEL YANG SAMA