Bach hadiri Persidangan IOC

Bach hadiri Persidangan IOC

pg22_150725_b

SEPANG, 24 Julai (Bernama) – Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa(IOC) Thomas Bach (gambar atas) tiba di ibu negara hari ini bagi menghadiri mesyuarat Lembaga Eksekutif dan Persidangan Sesi ke-128 badan induk dunia itu.

Bach akan mempengerusikan mesyuarat Lembaga Eksekutif dari 28 hingga 30 Julai diikuti Persidangan IOC dari 31 Julai hingga 3 Ogos, dengan agenda utama memilih tuan rumah Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022 dan Sukan Olimpik Belia Musim Sejuk 2020.

Kedua-dua mesyuarat itu akan dilangsungkan di Pusat Konvenyen Kuala Lumpur (KLCC).

“Saya berbesar hati untuk kembali semula ke Malaysia. IOC sedar betapa pentingnya mesyuarat Lembaga Eksekutif ini, begitu juga dengan persidangan itu nanti.

“Hanya tinggal setahun lagi untuk Sukan Olimpik di Rio de Janeiro bermula, selain pemilihan tuan rumah Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022 serta Sukan Olimpik Belia Musim Sejuk 2020.. jadi, kita punya agenda yang cukup baik di sini. “Kami juga akan berpeluang menemui beberapa atlet Malaysia, jadi kami bukan sekadar mengharapkan mesyuarat yang berjaya,” kata Bach.

Ketibaannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini disambut Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Tunku Tan Sri Imran Tuanku Jaafar dan naib presiden Datuk Low Beng Choo.

Tunku Imran berkata Malaysia turut gembira dapat menganjurkan kedua-dua mesyuarat itu.

“Saya harap ia akan menjadi satu sesi yang cukup baik,” katanya. Untuk rekod, 7 Julai tahun lepas, Lembaga Eksekutif IOC telah mengumumkan senarai pendek tiga bandar iaitu Oslo, Norway; Almaty, Kazakhstan; dan Beijing, China bagi Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022. Namun Oslo telah mengumumkan penarikan diri mereka.

Sementara itu Lausanne, Switzerland dan Brasov, Romania pula membida bagi Sukan Olimpik Belia Musim Sejuk 2020.