Bach: IOC pandang serius dakwaan berkaitan doping

Bach: IOC pandang serius dakwaan berkaitan doping

KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) – Majlis Olimpik Antarabangsa (IOC) akan bertindak tanpa sebarang tolak ansur berhubung dakwaan doping yang terkandung dalam satu dokumentari terbitan badan penyuara Jerman, ARD, sekiranya ia melibatkan keputusan atlet yang menyertai Sukan Olimpik.

Presidennya Thomas Bach bagaimanapun berkata, pihaknya akan terlebih dahulu menunggu hasil siasatan Agensi Antidoping Dunia (WADA), sebelum mengambil tindakan berhubung isu itu.

“Ketika ini, ia hanya berupa suatu andaian dan kami perlu menghormati andaian bahawa atlet yang dikaitkan belum bersalah. Kami sedang menunggu laporan WADA tentang perkara itu.

“Saya telah berbual dengan presiden WADA (Sir Craig Reedie) pagi tadi. Kami bersetuju bahawa WADA adalah pusat yang memiliki kecekapan dalam usaha membanteras doping,” katanya pada sidang media selepas merasmikan penutupan Persidangan IOC ke-128 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini Isnin.

Baru-baru ini, ARD dan akhbar Sunday Times dari Britain mendakwa satu pertiga daripada jumlah pingat bagi acara lasak pada kejohanan olahraga dunia dan Sukan Olimpik dari 2001 hingga 2012 dimenangi peserta yang darah mereka menimbulkan keraguan apabila diambil untuk ujian doping.

Mengenai persiapan Rio de Janeiro untuk menjadi tuan rumah Sukan Olimpik 2016, Bach berkata IOC akan sentiasa membuat pemantauan tentang isu pencemaran air sehinggalah sukan itu berakhir.

Katanya, pihak berkuasa Brazil telah membuat ujian air berpandukan garis panduan yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Mereka mendapat jaminan daripada WHO bahawa atlet tidak akan menghadapi risiko besar, tetapi kami tetap akan membuat pemantauan sehinggalah Sukan Olimpik itu berakhir,” katanya.

Menurut laporan, tuan rumah sukan itu berdepan dengan cabaran serius untuk membersihkan teluk, tempat pertandingan perahu layar akan diadakan.

Pelayar di Teluk Guanabara melaporkan terdapat jumlah sampah dan kadar pencemaran yang membimbangkan di situ, termasuk perabot yang dibuang dan bangkai haiwan.

Rio de Janeiro diumumkan sebagai bandar tuan rumah sukan itu pada Persidangan ke-121 IOC di Copenhagen pada 2 Okt 2009.

ARTIKEL YANG SAMA