Badak sumbu Sumatra kini bertambah

Badak sumbu Sumatra kini bertambah

JAKARTA, Indonesia, 13 Mei (AP) – Seekor badak sumbu Sumatra telah selamat melahirkan di sebuah tempat perlindungan Indonesia dalam kejayaan bagi usaha untuk menyelamatkan spesies yang begitu terancam itu.

Yayasan Badak Antarabangsa (IRF) berkata anak badak itu dilahirkan semalam dengan berat kira-kira 20 kilogram dan nampak sihat dan aktif.

“Kami tidak berhenti tersenyum sejak detik kami pasti ia hidup dan sihat,” kata pengarah eksekutif IRF Susie Ells dalam satu kenyataan. “Sementara satu kelahiran tidak menyelamatkan spesies ini, tetapi seekor lagi badak Sumatra di bumi ini.”

Hanya kira-kira 100 ekor badak Sumatra masih wujud, kebanyakannya di pulau Sumatra, dan beberapa dalam kurungan.

Mereka terancam oleh kemusnahan habitat hutan tropika dan pemburu yang membunuh mereka untuk mendapatkan tanduk, yang berharga bagi membuat perhiasan dan bagi kegunaan dalam ubat tradisional di China dan beberapa bahagian lain di Asia.

Gambar yang dikeluarkan oleh Yayasan Badak Antarabangsa (IRF) Khamis lalu, Ratu, badak sumbu Sumatera yang berusia 14 tahun, duduk di sebelah anaknya yang baru lahir di Pusat Perlindungan Badak Sumbu Sumatra di Taman Negara Way Kambas, Indonesia. – AP
Gambar yang dikeluarkan oleh Yayasan Badak Antarabangsa (IRF) Khamis lalu, Ratu, badak sumbu Sumatera yang berusia 14 tahun, duduk di sebelah anaknya yang baru lahir di Pusat Perlindungan Badak Sumbu Sumatra di Taman Negara Way Kambas, Indonesia. – AP

Spesies-spesies ini ditemui semula di bahagian Borneo, Indonesia menerusi jejak dan tapak kaki pada tahun 2013. Tetapi seekor anggota dalam penduduk kecil di Borneo telah mati pada April lalu selepas mengalami kecederaan yang dialami akibat perangkap pemburu telah dijangkiti.

Anak badak itu adalah anak kedua dari ibunya bernama Ratu, yang pernah melahirkan seekor anak badak jantan bernama Andatu pada tahun 2012, iaitu badak pertama dilahirkan dalam kurungan di Indonesia dalam tempoh 124 tahun. Ayahnya, Andalas dilahirkan di Zoo Cincinnati pada tahun 2001.

IRF telah membina tempat perlindungan badak di Taman Negara Way Kambas di Sumatra pada tahun 1997. Ia memuji kakitangan tempat perlindungan itu sebagai ‘pakar-pakar hebat’ dan berkata kelahiran kedua menunjukkan bahawa kepakaran wujud di Indonesia untuk menambah penduduk badak.