Badan Tanmiah bina 5 unit rumah teres

Badan Tanmiah bina 5 unit rumah teres

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Ogos – Sebagai salah satu daripada pelan strategik pelaburan dan pembangunannya, Badan Tanmiah Harta Majlis Ugama Islam (Badan Tanmiah HMUI) membina lima unit rumah teres di atas tanah milik BaitulMal di Lot 30520, Kampung Katok, dengan majlis peletakan batu asasnya telah diadakan hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan peletakan batu asas bagi memulakan pembinaan rumah teres berkenaan ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Badan Tanmiah HMUI, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar.

Turut hadir ialah ahli-ahli Lembaga Pengarah Badan Tanmiah HMUI, pegawai-pegawai kanan Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Jabatan Majlis Ugama Islam, ketua Kampung Katok dan pegawai-pegawai serta kakitangan Badan Tanmiah HMUI.

Projek pembinaan lima unit rumah teres yang bernilai $437,380 dan mengambil masa selama 12 bulan untuk disiapkan itu, dikendalikan oleh Syarikat Noracon Sdn Bhd.

Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom diberikan penerangan mengenai pembinaan rumah teres berkenaan.
Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom diberikan penerangan mengenai pembinaan rumah teres berkenaan.
Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom menyempurnakan permulaan kerja pembinaan rumah teres berkenaan.
Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom menyempurnakan permulaan kerja pembinaan rumah teres berkenaan.
Ilustrasi rumah teres yang sedang dalam pembinaan di Kampung Katok.
Ilustrasi rumah teres yang sedang dalam pembinaan di Kampung Katok.

Setelah siap pembinaannya nanti, rumah teres berkenaan akan dipasarkan atau ditawarkan kepada penyewaan kerajaan, orang ramai dan pihak swasta.

Adapun pembinaan rumah teres itu adalah salah satu daripada pelan pelaburan badan berkenaan di bawah Majlis Ugama Islam (MUI) dengan misi untuk mengembangkan serta memajukan sebahagian harta MUI, bagi maksud menjana pendapatan yang tetap, menjurus kepada pembangunan sosioekonomi umat Islam di negara ini.

ARTIKEL YANG SAMA