‘Badang’ Indonesia ditangkap, curi motosikal

‘Badang’ Indonesia ditangkap, curi motosikal

JAKARTA, 31 Ogos – Satu ketika dahulu beliau ialah “Badang” Indonesia yang menjuarai acara-acara Kejohanan Angkat Berat ketika berusia belasan tahun.

Bagaimanapun, bekas atlet angkat berat kebangsaan Indonesia, Bagus Dana Saputra atau dikenali sebagai Entus kini berhadapan dengan tindakan undang-undang kerana mencuri dan melakukan kekerasan jenayah terhadap masyarakat.

Entus, 21, ditahan bersama rakannya Mamang Rudi Asmoro, 21, di Pedurungan Semarang di Jawa Tengah kerana disyaki menjalankan kegiatan mencuri motosikal dan melakukan jenayah kekerasan.

Media-media dalam talian hari ini memetik Ketua Polis Seksyen Pedurungan Semarang, Sugiyatmo sebagai berkata, polis menahan Entus dan rakannya itu di sebuah rumah dan me-nemukan empat buah motosikal yang disyaki hasil curi.

Polis turut merampas beberapa senjata tajam yang dipercayai digunakan untuk melakukan kekerasan terhadap mangsa sebelum mencuri motosikal mereka.

“Modus operandi mereka ialah mencuri motosikal yang diparkir di kawasan rumah sewa, warung makan dan warung Internet. Mereka juga meminum arak terlebih dahulu sebelum melakukan kejahatan itu,” katanya.

Beliau berkata, Entus kemudiannya mengakui dirinya menjadi penjahat sejak dua tahun kebelakangan ini dan memberi alasan berbuat demikian kerana kecewa dengan layanan dan janji kerajaan terhadap dirinya yang tidak ditunaikan.

Entus mendakwa kerajaan pernah berjanji menawarkan pekerjaan sebagai penjawat awam tetapi apa yang berlaku ialah dirinya diabaikan begitu sahaja setelah tidak lagi terpilih mewakili negara dalam acara sukan di peringkat antarabangsa. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA