‘Badut seram’ takutkan warga Australia

‘Badut seram’ takutkan warga Australia

SYDNEY, 10 Okt – Fenomena badut menyeramkan yang menakutkan para penduduk di seluruh Amerika Syarikat kini mendarat di pesisir Australia dengan penglihatan badut itu dilaporkan oleh beberapa orang di Barat Australia (WA) pada hujung minggu.

News Corp hari ini melaporkan lelaki berpakaian badut itu dikatakan mengejar sekumpulan remaja perempuan hingga ke sebuah stesen polis Barat Australia pada malam Sabtu lalu. Lelaki berusia 19 tahun itu dikatakan menakutkan sekumpulan gadis-gadis remaja itu berhampiran sebuah pusat membeli belah di Northam, timur laut Perth dan mengejar mereka sejauh kira-kira 700 meter sebelum tiba di stesen polis.

Dia didakwa dengan tuduhan berkelakuan tidak senonoh dan membuat penyamaran, yang hanya menyalahi undang-undang jika ia digunakan untuk menyembunyikan identiti seseorang ketika melakukan kesalahan itu.

Dalam satu lagi insiden di Perth, seorang wanita dilaporkan memukul seorang pejalan kaki yang berpakaian sebagai badut di Lebuh raya Tonkin di Champion Lakes pada waktu tengah malam semalam. Tetapi lelaki itu berlari ke belukar berhampiran dan tidak dapat ditemui di sebalik pencarian oleh unit udara dan unit anjing.

Pakaian dan prop Halloween, termasuk topeng badut yang ‘menyeramkan’, dilihat dijual di sebuah kedai kostum di Arlington, Virginia, Rabu lalu. Fenomena badut menyeramkan kini berlaku di Australia selain Amerika Syarikat. – AFP
Pakaian dan prop Halloween, termasuk topeng badut yang ‘menyeramkan’, dilihat dijual di sebuah kedai kostum di Arlington, Virginia, Rabu lalu. Fenomena badut menyeramkan kini berlaku di Australia selain Amerika Syarikat. – AFP

Jurucakap polis WA berkata kejadian-kejadian lain yang melibatkan badut telah dilaporkan semalam namun tidak seorang pun ditemui apabila para pegawai polis pergi ke kawasan-kawasan itu.

“Adalah penting untuk diingati bahawa berpakaian seperti badut tidak menyalahi undang-undang, bagaimanapun sekiranya seseorang itu terlibat dengan kegiatan jenayah, antisosial atau mengancam orang lain, pihak polis akan menyiasat,” ujarnya.

Kegilaan badut bermula dengan laporan badut-badut cuba mengumpan kanak-kanak ke dalam belukar di negeri AS, South Carolina yang mengakibatkan kumpulan badut semakin ramai di seluruh Amerika dan pemburuan badut secara besar-besaran di kawasan lain. Kegemparan menakutkan ini tersebar ke Australia baru-baru ini, dengan pihak polis di Victoria dan South Australia antara yang mengeluarkan amaran tentangnya. – Xinhua

ARTIKEL YANG SAMA