BAG Networks sumbang Air Zam-zam

BAG Networks sumbang Air Zam-zam

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Jun – Projek amal sempena bulan Ramadan terus digiatkan di negara ini oleh pelbagai pihak dan hari ini, BAG Networks tidak ketinggalan mengungkayahkan projek amal mereka dengan mengagihkan Air Zam-zam kepada pesakit di wad-wad Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS).

Air Zam-zam disampaikan oleh Pegawai Hal Ehwal Korporat BAG Networks, Pengiran Haji Emran bin Pengiran Seri Wijaya Pengiran Haji Ahmad kepada Pegawai Tugas-tugas Khas Tingkat 1, Malai Norain binti Sheikh Mohammad yang mewakili Hospital RIPAS menerima agihan itu.

Menurut Pengiran Haji Emran, program seumpamanya diadakan setiap tahun dalam bulan Ramadan khusus untuk pesakit hospital itu dan ia diharap dapat membantu meringankan penderitaan pesakit lebih-lebih lagi menjelang Aidilfitri agar dapat bersama keluarga tercinta.

“Inisiatif ini adalah sebahagian daripada kegiatan keagamaan dan projek amal BAG Networks di bulan Ramadan dan majlis pengagihan Air Zam-zam ini melibatkan 20 orang sukarelawan terdiri daripada kakitangan BAG sendiri,” jelasnya.

Pengiran Haji Emran menyerahkan Air Zam-zam kepada Malai Norain
Pengiran Haji Emran menyerahkan Air Zam-zam kepada Malai Norain

Beliau seterusnya menjelaskan, Air Zam-zam itu diperolehi dari Darussalam Holding, dibotolkan semula dalam botol kecil dengan meletakkan logo BAG.

Selain pengagihan Air Zam-zam kepada pesakit di hospital ini, BAG sebelum ini juga pernah mengagihkan Air Zam-zam bagi acara-acara besar seperti Majlis Maulud Nabi Muhammad S.A.W dan Perhimpunan Wanita.

Di samping mengadakan pengagihan Air Zam-zam, BAG Networks sempena bulan Ramadan juga mengadakan beberapa aktiviti amal seperti pandu derma (donation drive) untuk membantu orang-orang susah selain melakukan kerja-kerja membersihkan kubur, bertahlil dan sungkai bersama-sama kakitangan BAG.

“BAG Networks dalam perancangan akan cuba mengagihkan Air Zam-zam ke hospital di daerah lain melalui hospital RIPAS,” tambahnya lagi.

ARTIKEL YANG SAMA