BAG, NiAT beramal

BAG, NiAT beramal

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Julai – Dalam usaha beramal jariah sempena bulan Ramadan yang mulia ini, BAG Networks dengan kerjasama Darussalam Enterprise (DARe) dan Network Integrity Assurance Technologies (NiAT) telah menganjurkan program kebajikan yang dikenali sebagai Projek Amal BAG Prihatin untuk memanfaatkan keluarga-keluarga yang kurang bernasib baik di Brunei.

Menurut kenyataan BAG Networks, pada tahun ini, lapan buah keluarga dari Daerah Tutong telah dikenal pasti dengan bantuan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) untuk menerima derma tersebut.

Bantuan berbentuk periuk nasi, makanan kering, tin dan botol serta barang keperluan lain telah disampaikan kepada para penerima baru-baru ini.

Derma ini telah dikumpulkan sejak dua minggu lalu daripada kakitangan BAG Networks, DARe dan NiAT, yang diserahkan kepada BAG Networks oleh wakil-wakil dari DARe dan NiAT, Hajah Iryani binti Haji Abdul Samad dan Awang Mohd Amin Abdullah.

Menurut ketua projek berkenaan, Pegawai Pemasaran dan Komunikasi Korporat di BAG Networks, Dayang Zaimah binti Tuah, program kebajikan tahunan ini bertujuan untuk membantu keluarga-keluarga yang kurang bernasib baik dalam persediaan menjelang Aidilfitri.

“Pada tahun ini, kami amatlah bersyukur atas penglibatan daripada kakitangan DARe dan NiAT bersama-sama membantu keluarga-keluarga dari Daerah Tutong ini.

Kami berharap agar dapat menarik minat yang lebih tinggi lagi daripada organisasi-organisasi teknologi dan sokongan perniagaan dalam program kebajikan tahunan ini, agar dapat memanfaatkan lebih banyak keluarga-keluarga yang memerlukan pada Ramadan yang akan datang.”

BAG Networks telah melancarkan program kebajikan sempena bulan Ramadan julung-julung kalinya pada tahun 2015 untuk membantu beberapa buah keluarga di Kampung Anggerek Desa, Daerah Brunei dan Muara.

ARTIKEL YANG SAMA