Bagaimana mengeluarkan zakat dari wang simpanan?

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

ZAKAT merupakan salah satu asas tertegaknya syariat Islam dan termasuk salah satu ibadah dari rukun Islam yang lima selain sembahyang, puasa dan naik haji ke Mekah bagi orang yang berkemampuan.

Zakat ialah nama bagi harta yang tertentu, diambil daripada harta yang tertentu, menurut peraturan (syarat-syarat) yang tertentu dan diberikan kepada orang-orang tertentu yang berhak menerimanya.

Mengeluarkan zakat hukumnya adalah wajib ke atas setiap muslim yang mencukupi syarat-syarat wajib mengeluarkan zakat, sama ada zakat harta ataupun zakat fitrah.

Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman yang tafsirnya: “Dan dirikanlah oleh kamu akan sembahyang dan tunaikanlah zakat; dan apa jua yang kamu dahulukan dari kebaikan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasan pahalanya pada sisi Allah. Sesungguhnya Allah sentiasa melihat segala yang kamu kerjakan.” (Surah al-Baqarah: 110)

Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya, “Allah memerintahkan kita agar mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyambung tali persaudaraan dan menahan diri dari melakukan perbuatan-perbuatan keji.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Hikmah pensyariatan zakat

Terdapat banyak hikmah dari pensyariatan zakat, antaranya:

1) Zakat merupakan ibadah material yang bukan sahaja berupa perintah wajib, malahan sebagai wadah untuk menyatakan rasa syukur atas nikmat yang dikurniakan Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

2) Zakat berfungsi sebagai pembersih harta agar harta yang disimpan itu bersih, kerana apabila harta yang cukup haul dan sampai nisab itu tidak dikeluarkan zakat bererti ada hak fakir miskin di dalam harta tersebut.

3) Zakat membantu pembentukan akhlak mulia dengan mengikis sifat bakhil seorang muslim.

4) Zakat juga dapat membantu mengurangi kesusahan dan bebanan golongan yang tidak mampu, di samping meningkatkan hubungan persaudaraan antara golongan kaya dan golongan yang tidak berkemampuan.

Peringatan bagi orang yang mengabaikan zakat

Peristiwa Isra’ dan Mi‘raj Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam walaupun telah lama berlalu, namun kita berharap ia masih dapat memberi kesan positif kepada umat Islam. Kejadian-kejadian berupa pembalasan di hari akhirat kelak yang ditonton oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam dalam perjalanan yang mulia itu merupakan panduan yang mesti kita jadikan iktibar demi mencapai kesempurnaan iman.

Salah satu kejadian yang ditonton oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam dalam peristiwa agong itu, Baginda telah diperlihatkan satu kaum yang hanya menutup kemaluan (dubur dan qubul mereka) dengan tampalan (secebis kain sahaja) dan mereka dihalau seperti binatang ternakan ke tempat pohon-pohon kering, buah zaqqum dan batu panas neraka jahannam. Baginda Sallallahu ‘alaihi Wasallam bertanya: “Siapakah mereka itu, wahai Jibril?” Jibril menjawab: “Mereka adalah orang-orang yang tidak menunaikan zakat harta mereka”.

Mengambil iktibar dari peristiwa di atas, jelas bahawa kewajipan zakat itu jangan dicuai-cuaikan. Bukan alang-kepalang seksa yang akan ditanggung oleh orang yang mencuaikannya. Mengabaikannya bererti balasan seksa di akhirat kelak pasti menanti.

Ayat-ayat al-Qur’an dan hadis Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam menyebutkan tentang pembalasan bagi orang yang tidak mengeluarkan zakat, antaranya:

Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman yang tafsirnya:

“Dan jangan sekali-kali orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka dari kemurahanNya menyangka, bahawa keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka. Bahkan ia adalah buruk bagi mereka. Mereka akan dikalungkan (diseksakan) dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada hari kiamat kelak.” (Surah Aali-‘Imran: 180)

Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman dalam ayat yang lain yang tafsirnya. “Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam neraka jahannam, lalu diselar dengannya dahi mereka, dan rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): “Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu, rasakanlah (azab dari) apa yang kamu simpan itu.”

Diriwayatkan dari Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya, “Barangsiapa yang dikurniakan harta oleh Allah namun dia tidak melaksanakan zakat (hartanya), diserupakan hartanya pada hari kiamat sebagai ular gondol yang mempunyai dua taring yang akan mengalunginya (orang yang tidak mengeluarkan zakat itu). Kemudian ular tersebut akan mengambilnya (orang yang tidak mengeluarkan zakat itu) dengan dua tulang rahangnya lantas berkata: “Aku adalah hartamu, aku adalah simpananmu.” Kemudian Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam membaca, Wa Laa Yah Sabannal Laziina Yabkholun….)) (( Surah aali-‘Imran: 180)(Hadis riwayat al-Bukhari)

Zakat wang simpanan

Salah satu jenis harta yang wajib dikeluarkan zakat apabila mencapai nisab tertentu dan cukup tempoh haul ialah wang simpanan. Orang yang menyimpan wangnya di bank atau dalam peti di rumahnya atau diamanahkan di tangan isterinya atau disimpan di mana-mana sahaja atau dia menghutangkan hartanya kepada orang lain dan ada harapan untuk orang itu membayar balik hutangnya kepadanya, apabila simpanan wang itu berlalu setahun Hijrah dan cukup nisab wajiblah dikeluarkan zakatnya.

Begitu juga keadaannya apabila tiba masa seseorang itu hendak menghitung harta wang simpanannya untuk dikeluarkan zakat, maka tidak boleh dia menghitung setakat harta wang simpanannya di bank sahaja, bukan itu sahaja yang hendak dikeluarkan zakatnya, tetapi hendaklah juga dia mengambil kira semua wang simpanannya yang ada, sama ada wangnya di dalam bank, di dalam peti simpanan di rumahnya, wangnya yang diamanahkan di tangan isterinya atau wang yang dihutangkannya kepada orang lain dan ada harapan untuk orang itu membayar balik.

Sebagai contoh, seseorang mempunyai wang yang disimpan di beberapa tempat atau dihutangkannya kepada seseorang dan ada harapan untuk orang itu membayar balik seperti berikut:

1) Dalam akaun bank A: $1,550/=

2) Dalam akaun bank B : $1,425/=

3) Dalam peti simpanan di rumahnya: $1, 300/=

4) Dihutangkannya kepada seseorang: $875/=

Semua wang simpanan dan yang dihutangkannya itu hendaklah dijumlahkan keseluruhannya, bukan setakat menjumlahkan wang ada dalam simpanan akaun banknya sahaja. Dalam contoh di atas, jumlah keseluruhan wangnya $5,150/=. Dari itu zakat hendaklah dikeluarkan bagi wang simpanannya yang berjumlah $5,150/= iaitu dengan mengeluarkan 2.5% atau 1/40 daripadanya apabila cukup haulnya.

Contoh lain, seseorang menyimpan wang $5,000/= pada 1 Muharram 1427H, kemudian dalam bulan Rejab 1427H wang tersebut dikeluarkannya sebanyak $1,000/= dan dalam bulan Ramadan 1427H dikeluarkan lagi wang tersebut sebanyak $500/=. Ini menjadikan baki wang simpanannya di bank ialah $3,500/=. Jika baki itu kekal sehingga awal bulan Muharram 1428H, maka wajib dikeluarkan zakatnya, iaitu 1/40 atau 2.5% daripada jumlah baki itu, walaupun berlaku pengeluaran (withdrawal) pada wang simpanan tersebut selama mana ianya tidak kurang daripada kadar nisab semasa yang ditentukan.

Akan tetapi, apabila terputus nisab sebelum cukup haul, maka tidak wajib dikeluarkan zakat. Sebagai contoh, seseorang menyimpan wang sebanyak $5,000/= pada 1 Safar 1427H, kemudian dalam bulan Rejab 1427H wang tersebut dikeluarkannya sebanyak $2,000/= dan dalam bulan Sya‘ban 1427H dikeluarkan lagi wang tersebut sebanyak $1,000/=. Ini menjadikan wang simpanan tersebut berbaki sebanyak $2,000/=, dan baki ini tidak sampai nisab. Namun pada awal bulan Muharram 1428H, terdapat kemasukan sebanyak $3,500/= dan ini menjadikan jumlah wang tersebut sebanyak $5,500/= iaitu kadar yang sampai nisab. Maka dalam keadaan ini, permulaan pengiraan haul bermula pada awal bulan Muharram 1428H kerana pengiraan permulaan haul yang sebelumnya (iaitu pada 1 Safar 1427H) sudah pun terputus pada bulan Sya‘ban 1427H kerana tidak sampai nisab.

Begitu juga halnya, orang yang mempunyai lebihan atau baki wang pinjaman, wajib dia mengeluarkan zakatnya jika lebihan wang itu cukup nisab dan haulnya. Sebagai contoh, A mempunyai hutang kepada B sebanyak $50,000/=. Perbelanjaan yang dibuatnya dari wang tersebut sebanyak $30,000/= sahaja dan baki wang itu sebanyak $20,000/=.

Maka wajib ke atas A mengeluarkan zakat bagi wang hutangnya sebanyak $20,000/= itu dengan mengeluarkan 2.5% daripadanya sebagai zakat apabila cukup haul iaitu sebanyak $500/=. Ini kerana wang itu telah menjadi miliknya dan berada di tangannya selama satu tahun Hijrah dan cukup nisabnya.

Kadar nisab

Kadar nisab matawang disandarkan kepada kadar nisab emas iaitu 20 dinar atau 85 gram emas. Mengikut harga pasaran emas (tahun 2007), satu gram emas bernilai $29.70/=, maka 85 gram emas bernilai $29.70 X 85 = $2,524.50/= (Dua ribu lima ratus dua puluh empat ringgit dan lima puluh sen). Kadar yang wajib dikeluarkan zakatnya pula ialah 1/40 atau 2.5% dari jumlah $2,524.50/= iaitu $63.10/=.

Walau bagaimanapun, haruslah diingat bahawa nilai emas sentiasa berubah dari masa kesemasa dan kiraan nisab bagi matawang hendaklah disesuaikan mengikut kiraan yang terkini. Oleh itu umat Islam, terutamanya mereka yang mempunyai kewajipan untuk mengeluarkan zakat, perlu peka akan perubahan nilai emas yang berlaku setiap masa. Begitu juga pihak yang bertanggungjawab dalam menetapkan kadar zakat, mestilah sentiasa mengikuti harga pasaran emas dan memaklumkannya kepada orang ramai bagi kemudahan mereka untuk menunaikan kewajipan zakat.

Pembayaran Zakat Dari Harta Yang Lain

Pembayaran zakat tidak semestinya dikeluarkan daripada kumpulan harta yang dikenakan zakatnya. Mengenai wang simpanan, sah dikeluarkan zakat dengan wang lain iaitu bukan dengan wang simpanan itu sendiri. Contohnya seseorang menyimpan wang di bank, dan apabila ia telah cukup nisab dan haul, sah dibayar atau dikeluarkan zakat bagi wang simpanan itu dari wangnya yang lain, kerana tidak disyaratkan dikeluarkan zakat dari wang yang kena dizakatkan itu.

Ancaman-ancaman yang dijelaskan dalam al-Qur’an dan hadits serta kejadian ngeri yang ditonton oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika Mi‘raj Baginda bagi orang yang tidak melaksanakan tuntutan zakat sepatutnya dijadikan iktibar dan pengajaran. Ingatlah dalam harta yang cukup syarat-syarat untuk dikeluarkan zakatnya ada hak fakir miskin di dalamnya.

Walau bagaimanapun, haruslah diingat bahawa nilai emas sentiasa berubah dari masa kesemasa dan kiraan nisab bagi matawang hendaklah disesuaikan mengikut kiraan yang terkini. Oleh itu umat Islam, terutamanya mereka yang mempunyai kewajipan untuk mengeluarkan zakat, perlu peka akan perubahan nilai emas yang berlaku setiap masa. Begitu juga pihak yang bertanggungjawab dalam menetapkan kadar zakat, mestilah sentiasa mengikuti harga pasaran emas dan memaklumkannya kepada orang ramai bagi kemudahan mereka untuk menunaikan kewajipan zakat.

Pembayaran zakat dari harta yang lain

Pembayaran zakat tidak semestinya dikeluarkan daripada kumpulan harta yang dikenakan zakatnya. Mengenai wang simpanan, sah dikeluarkan zakat dengan wang lain iaitu bukan dengan wang simpanan itu sendiri. Contohnya seseorang menyimpan wang di bank, dan apabila ia telah cukup nisab dan haul, sah dibayar atau dikeluarkan zakat bagi wang simpanan itu dari wangnya yang lain, kerana tidak disyaratkan dikeluarkan zakat dari wang yang kena dizakatkan itu.

Ancaman-ancaman yang dijelaskan dalam Al-Qur’an dan hadis serta kejadian ngeri yang ditonton oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam ketika Mi‘raj Baginda bagi orang yang tidak melaksanakan tuntutan zakat sepatutnya dijadikan iktibar dan pengajaran. Ingatlah dalam harta yang cukup syarat-syarat untuk dikeluarkan zakatnya ada hak fakir miskin di dalamnya.