Bagan Datoh b...

Bagan Datoh bakal meniti pembangunan pesat

BAGAN DATOH – Ada yang menggelarkan Bagan Datoh sebagai pekan koboi, pekan orang veteran, malah ‘pekan mati’ kerana hanya ada dua baris kedai di jalan utamanya.

Kurangnya aktiviti juga dipercayai berpunca daripada kedudukannya, yang terletak kira-kira 150km dari bandar Ipoh dan di penghujung tepi Sungai Perak. Bagaimanapun, pada 9 Jan ini, pekan ini akan diisytiharkan secara rasminya oleh Sultan Perak Sultan Nazrin Shah sebagai daerah paling baru di negeri ini.

Selepas pengisytiharan oleh Sultan Perak itu nanti, ejaan ‘Bagan Datoh’ secara rasminya akan diguna pakai dengan ejaan “Bagan Datuk’ sepertimana yang diberitahu oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.

Diwartakan

Sebenarnya Parlimen Bagan Datoh secara rasminya diwartakan sebagai daerah baharu yang ke-12 melalui Warta Kerajaan bernombor 1570 bertarikh 15 Jun tahun lepas. Pengisytiharan itu mengikut sub seksyen 11(A) Kanun Tanah Negara, Akta 56 tahun 1965.

Pengawai Daerah Bagan Datoh, Datuk Hamzah Hussin (kiri) meninjau pembinaan Waterfront Bagan Datoh selepas sidang media mengenai persiapan pengisytiharan Bagan Datoh sebagai sebuah daerah penuh pada 9 Januari 2017 ini. – Bernama
Pengawai Daerah Bagan Datoh, Datuk Hamzah Hussin (kiri) meninjau pembinaan Waterfront Bagan Datoh selepas sidang media mengenai persiapan pengisytiharan Bagan Datoh sebagai sebuah daerah penuh pada 9 Januari 2017 ini. – Bernama

Malah kerusi penting bagi jawatan Pegawai Daerah Bagan Datoh yang pertama telahpun dilantik secara rasmi mulai 16 Jun kepada Datuk Hamzah Hussin, yang pernah berkhidmat selaku bekas Pegawai Daerah Kerian. Bagan Datoh berkeluasan 94,969.892 hektar mempunyai empat mukim iaitu Bagan Datoh, Hutan Melintang, Rungkup dan Teluk Bharu melibatkan 46 buah kampung di mana sebelum ini daerah Bagan Datoh terletak di bawah pentadbiran Daerah Hilir Perak.

Lantaran dengan pengurniaan status baharu itu, akan lengkaplah sudah penantian oleh 70,300 warga parlimen Bagan Datoh yang menantikan pembangunan bagi melonjakkan mutu hidup di Bagan Datoh yang turut terkenal sebagai antara kawasan penanaman kelapa terbesar negara.

Berdasarkan sumber daripada Jabatan Perangkaan Tahun 2014 dan Draf Rancangan Tempatan Daerah Hilir Perak 2020, pecahan penduduk mengikut mukim adalah Bagan Datoh 13,700 orang; Rungkup (11,600); Hutan Melintang (36,000); Teluk Bharu (9,000) dan anggaran penduduk daerah ini pada 2020 ialah 92,100 penduduk.

Persiapan detik bersejarah

Bagan Datoh sudah mula menjadi tumpuan dan lensa media massa. Bagi Pegawai Daerah Bagan Datoh yang pertama itu, Hamzah berkata ketika ini segala persiapan majlis pengisytiharan itu sudah bermula beberapa bulan lepas dan semuanya berjalan lancar.

Bagi memeriahkan lagi detik bersejarah itu, lebih 50 bas disediakan khas untuk membawa penduduk kampung sekitar sini ke majlis pengisytiharan itu selain kiri dan kanan jalan utama sudah mula dihiasi dengan gegantung dan papan iklan sempena pengisytiharan detik bersejarah itu. “Bas berkenaan akan membawa penduduk ke tapak pengisytiharan iaitu di Sekolah Menengah Sains Bagan Datoh dan kehadiran tetamu dijangka melebihi 10,000 orang termasuk penduduk dari daerah berhampiran,” katanya.

Majlis pengisytiharan akan bermula pukul 10 pagi, dan antara tetamu kenamaan yang dijadual hadir ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Anggota Parlimen Bagan Datoh dan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Pertanian ekonomi utama

Pertanian masih menjadi teras utama kegiatan ekonomi. Suatu ketika Bagan Datoh adalah kawasan tanaman kelapa terbesar di Malaysia. Tetapi dengan tarikan kepada kelapasawit yang lebih mahal harganya menyaksikan tanaman kelapa baik di estet atau kebun kecil, diganti dengan kelapa sawit.

Menurut Hamzah, kutipan cukai sedia ada dalam daerah berkenaan adalah kira-kira RM6 juta setahun di mana sektor pertanian menjadi penyumbang terbesar. Justeru harapan kiniagar dipelbagaikan lagi teras ekonomi. Meskipun terdapat industri terutamanya melibatkan produk berasaskan kelapa dan hiliran, namun ia dalam skala kecil.

Pengawai Daerah Bagan Datoh, Datuk Hamzah Hussin ketika sidang media mengenai persiapan pengisytiharan Bagan Datoh sebagai sebuah daerah penuh pada 9 Januari 2017. – Bernama
Pengawai Daerah Bagan Datoh, Datuk Hamzah Hussin ketika sidang media mengenai persiapan pengisytiharan Bagan Datoh sebagai sebuah daerah penuh pada 9 Januari 2017. – Bernama

Adalah diharapkan apabila prasarana dan pembangunan siap, ia akan dapat menyediakan peluang pekerjaan sekaligus menjadi faktor penarik kepada warga kawasan ini agar tidak berhijrah ke bandar-bandar besar mencari rezeki, yakni sekaligus mengubah persepsi Bagan Datoh sebagai pekan orang veteran.

Kilauan Pulau Sembilan

Mengenai sektor pelancongan di Bagan Datoh, bagi kaki pancing mencari udang galah dan ikan sungai, nama Sungai Dulang sudah tidak asing kerana kawasan tebing sungai ini memang terdapat banyak udang galah jika kena pada masa, air dan lubuknya.

Setiap kali tiba musim udang galah, pengusaha sampan atau bot sewalah orang yang paling senyum lebar kerana warga pancing dari Lembah Klang dan sekitar Perak Selatan akan menjelajahi tebing Sungai Perak terutamanya mencari sepit biru itu.

Biasanya mereka akan berlepas dari Sungai Dulang yang menjadi pangkalan bot dan sampan sewa. Satu lagi lokasi pelancongan yang semakin popular dan menjadi viral dilaman sosial ialah Taman Negeri Pulau Sembilan kerana keistimewaan pemandanganKristal kebiruan seperti dalam filem ‘Avatar’ di pesisiran pantai yang dikenali sebagai fenomena phytoplankton atau lebih dikenali dengan ‘Blue Tears’ pada sebelah malam.

Bagi kaki penyelam skuba, kawasan berkenaan ibarat ‘syurga’ yang masih kurang diketahui kerana mempunyai terumbu karang yang cantik selain menjadi habitat pelbagai hidupan laut termasuk kuda laut, ikan lumba-lumba serta penyu.

Taman Negeri Pulau Sembilan terdiri daripada sembilan gugusan pulau iaitu Pulau Agas; Pulau Lalang; Pulau Saga; Pulau Nipis; Pulau Rumbia; Pulau Payong; Pulau Buluh; Pulau Batu Putih dan Pulau Batu Hitam.

Namun hanya Pulau Lalang dan Pulau Rumbia sahaja mempunyai pantai dan sesuaidikunjungi pelancong untuk pelbagai aktiviti termasuk berkhemah, berkelah dan aktiviti air, itupun dihadkan seramai 150 orang sehari oleh pihak Taman Negeri.

Hamzah berkata ketika ini tiada sebarang promosi pelancongan dilakukan diTaman Negeri Pulau Sembilan berikutan bagi menunggu kemudahan asas di Pulau Lalang dan Pulau Rumbia siap.

Jelasnya selepas kesemua prasarana itu siap, barulah pihaknya akan merancang promosi besar-besaran dan menggalakkan pelancongan di Taman Negeri Pulau Sembilan.

Projek infrastruktur di kedua-dua pulau itu hanya melibatkan kemudahan asas seperti wakaf, tandas, surau serta dewan sahaja namun bagi membina resort atau chalet di gugusan pulau itu, Hamzah mengulas, pihaknya tiada perancangan disebabkan kawasan pantai yang pendek.

Kerajaan negeri mengumumkan Pulau Sembilan yang sebelum ini di bawah daerah Manjung kini diletakkan di bawah pentadbiran daerah Bagan Datoh berikutankedudukan gugusan pulau berkenaan yang lebih dekat dengan Bagan Datoh berbanding Pulau Pangkor atau Lumut. – Bernama