Bagasi ‘pandu sendiri’

LAS VEGAS, 11 Jan – Kereta pandu sendiri mungkin mengambil masa untuk tiba, tetapi bagasi pandu sendiri telah wujud pada masa ini.

Sesetengah teknologi yang digunakan dalam kereta berautonomi boleh diadaptasi ke produk-produk yang telah didedahkan pada Pameran Elektronik Pengguna 2018 untuk membantu para pelancong dengan masalah berat mengurus bagasi.

‘Bagasi robot’ dari syarikat yang beribu pejabat di California, Travelmate boleh dikawal dengan aplikasi telefon pintar dan boleh bergerak di samping pemiliknya pada kelajuan sehingga 11 kilometer sejam, dengan mengharungi apa saja halangan.

“Ini benar-benar robot yang mengikuti anda ke mana saja,” kata pengasas dan presiden Travelmate, Maximillan Kovtun.

Travelmate telah mereka peranti yang menyatupadukan elemen-elemen kecerdasan buatan yang digunakan untuk bergerak pada langkah yang menyamai langkah pengguna, atau ia boleh diarah dengan aplikasi telefon pintar dalam cara sama seperti dron.

Peserta pameran melakukan demonstrasi terhadap Modobag semasa CES 2018 yang kini berlangsung di Las Vegas. – AFP

Harga pada sekitar $1,100 ia dijangkakan dikeluarkan pada Februari bagi pasaran AS dan kemudian di Eropah dan Jepun.

Tawaran yang bersaingan dari ForwardX, sebuah syarikat startup China dengan pejabat-pejabat di California, direka untuk digunakan dengan pengecaman muka, tanpa perlu aplikasi telefon pintar.

“Ia menggunakan gambar komputer, dan peraturan perjalanan untuk mempunyai laluan jelas,” kata pengasasnya, Nicholas Chee, yang telah memperlihatkan sebuah prototaip di CES.

Bagasi ForwardX juga mempunyai teknologi kawalan gerak isyarat dan boleh dilumpuhkan untuk melindungi dari kecurian.

Chee berkata dia menjangkakan pelancaran pada pertengahan 2018 pada harga di bawah $1,000.

Travelmate dan ForwardX berkata peranti mereka mematuhi peraturan keselamatan AS kerana bateri litiumionnya yang ditegah dalam bagasi yang diperiksa boleh dikeluarkan.

Juga ditunjukkan di CES ialah bagasi automatik mengikut dari 90FUN yang beribu pejabat di China, yang boleh diperolehi di pasaran China dan kelak akan datang ke Amerika. Ia menggunakan teknologi pengimbang diri sendiri daripada pengeluar pengangkutan peribadi, Segway.

Dan akhirnya, bagi yang paling meletihkan pelancong, produk bagasi dipanggil Modobag, yang kekurangan kecerdasan buatan tetapi menawarkan keistimewaan agak besar pula, sebagai bagasi yang boleh ditunggang yang boleh membawa pemiliknya bersama-sama pakaian mereka. – AFP