Baginda Sultan berangkat balik

Baginda Sultan berangkat balik

KUALA LUMPUR, 22 Nov – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, malam ini, berkenan berangkat meninggalkan Kuala Lumpur, Malaysia selepas menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-27 dan Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan yang telah berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bermula kelmarin.

Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia berdua ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan.

Sebelum berangkat meninggalkan Hotel Grand Hyatt Kuala Lumpur, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned. Sebelum berangkat menaiki pesawat diraja, Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri berkenan melintasi Kawalan Kehormatan Statik yang dianggotai oleh 28 orang anggota Angkatan Tentera Malaysia.

Baginda Sultan berkenan berangkat meninggalkan Kuala Lumpur, Malaysia selepas menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN. – Infofoto
Baginda Sultan berkenan berangkat meninggalkan Kuala Lumpur, Malaysia selepas menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN. – Infofoto

pg03_151123_c

Berada di Pangkalan Udara Subang bagi menyembahkan selamat berangkat ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Yang Berhormat Datuk Hamzah bin Zainudin dan isteri, Yang Berbahagia Datin Norashikin binti Datuk Abdul Ghani; Ketua Protokol Kementerian Luar Negeri Malaysia, Tuan Yang Terutama Datuk Kamilan Maksom; Ketua Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan, Yang Berbahagia Datuk Wan Hamidah binti Wan Ibrahim serta para pegawai kanan kerajaan Malaysia.

Turut hadir ialah Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Dato Paduka Haji Alaihuddin bin Pehin Orang Kaya Digadong Seri Lela Dato Seri Utama Haji Awang Mohd Taha dan isteri serta para pegawai Suruhanjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam di Malaysia.

Mengiringi keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia berdua ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan II (Kedua), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim dan isteri.

ARTIKEL YANG SAMA