Baginda Sultan berangkat ke Rusia

Baginda Sultan berangkat ke Rusia

Oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Mei – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini berkenan berangkat ke Sochi, Persekutuan Rusia bagi menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia ke-20 yang akan berlangsung mulai 19 hingga 20 Mei di Radisson Blu Resort and Congress Centre, Sochi.

Sebelum berangkat dari Istana Nurul Iman, doa selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

Berangkat di Hangar Penerbangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Rimba bagi menyembahkan selamat berangkat kehadapan majlis Baginda Sultan ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah; dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan.

Baginda Sultan berkenan berangkat bagi menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia ke-20 di Sochi, Rusia.
Baginda Sultan berkenan berangkat bagi menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia ke-20 di Sochi, Rusia.
Ahli-ahli Kerabat Diraja yang lain berangkat ke Hanger Penerbangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Rimba bagi menyembahkan selamat berangkat kehadapan majlis Baginda Sultan.
Ahli-ahli Kerabat Diraja yang lain berangkat ke Hanger Penerbangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Rimba bagi menyembahkan selamat berangkat kehadapan majlis Baginda Sultan.

Berangkat sama dan hadir bagi menyembahkan selamat berangkat ialah Yang Amat Mulia Pengiran-Pengiran Cheteria; Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara; Menteri-menteri Kabinet; ahli-ahli Majlis Mesyuarat Diraja; timbalan-timbalan menteri; Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei; Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei; dan Duta Besar Persekutuan Rusia ke Negara Brunei Darussalam.

Sidang Kemuncak Sochi diadakan bagi memperingati ulang tahun ke-20 hubungan dialog ASEAN-Rusia itu merupakan julung kalinya diadakan di wilayah Rusia. Dua sidang kemuncak sebelum ini diadakan di Kuala Lumpur (2005) dan Hanoi, Vietnam (2010).

Rusia dinaik taraf sebagai Rakan Dialog Penuh ASEAN pada Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN (AMM) ke-29 di Jakarta pada Julai 1996.

Sochi adalah sebuah bandar raya peranginan terkenal, tempat berlangsungnya acara besar antarabangsa seperti Sukan Olimpik Musim Sejuk 2014.

Media Rusia melaporkan bahawa sidang kemuncak itu akan muncul sebagai acara antarabangsa terbesar pada 2016 bagi negara itu. Pada sidang kemuncak itu, para pemimpin dijangka menerima pakai Deklarasi Sochi bertajuk, ‘Moving towards a Strategic Partnership for Mutual Benefit’ (Menuju Ke Arah Perkongsian Strategik Demi Manfaat Bersama).

ARTIKEL YANG SAMA