Baginda Sultan Berangkat Tiba Di Kuwait

Baginda Sultan Berangkat Tiba Di Kuwait

KUWAIT, 18 Mei – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam petang ini selamat berangkat tiba di Kuwait bagi Keberangkatan Negara selama dua hari mulai 18 hingga 19 Mei 2015.

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Terminal Amiri, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuwait dialu-alukan oleh His Highness Sheikh Sabah Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah, Amir Kuwait.

Sejurus selepas itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia disembahkenalkan kepada orang-orang kenamaan Kerajaan Kuwait yang terdiri daripada His Highness Crown Prince Sheikh Nawaf Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah; His Highness Sheikh Jaber Mubarak Al-Hamad Al-Sabah, Perdana Menteri Kuwait; Sheikh Mohammad Abdullah Al-Mubarak Al-Sabah, Menteri Negara bagi Hal Ehwal Kabinet selaku Menteri Pengiring; Tuan Yang Terutama Marzouq Al-Ghanim, Speaker National Assembly Kuwait; Menteri-Menteri Kabinet serta para pegawai kanan Kerajaan Kuwait.

Turut hadir menjunjung keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan II (Kedua), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Dewa Dato Seri Setia Lim Jock Seng, Menteri dan Duta Besar Negara Brunei Darussalam ke Kuwait, Tuan Yang Terutama Pengiran Haji Mustapa bin Pengiran Haji Aliuddin.

Baginda Sultan seterusnya berkenan menerima jambangan bunga sebelum beredar bersama-sama His Highness Amir Kuwait menuju ke tempat yang dikhaskan bagi menerima Tabik Hormat Diraja dengan diiringi lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam dan lagu kebangsaan Kuwait.

Baginda Sultan bersalaman dengan Amir Kuwait, His Highness Sheikh Sabah Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah, sebelum berangkat meninggalkan Terminal Amiri menuju ke hotel persemayaman. – Gambar Infofoto
Baginda Sultan bersalaman dengan Amir Kuwait, His Highness Sheikh Sabah Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah, sebelum berangkat meninggalkan Terminal Amiri menuju ke hotel persemayaman. – Gambar Infofoto
Baginda  Sultan bersama-sama His Highness Amir Kuwait di Dewan Resepsi di Terminal Amiri, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuwait
Baginda Sultan bersama-sama His Highness Amir Kuwait di Dewan Resepsi di Terminal Amiri, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuwait

p01-3_20150519

Baginda  Sultan berkenan menerima junjung ziarah seorang kanak-kanak semasa berangkat tiba di hotel persemayaman
Baginda Sultan berkenan menerima junjung ziarah seorang kanak-kanak semasa berangkat tiba di hotel persemayaman
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menerima junjung ziarah sebelum berangkat ke Kuwait. - Gambar oleh Muiz Matdani
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menerima junjung ziarah sebelum berangkat ke Kuwait. – Gambar oleh Muiz Matdani

p01-6_20150519

Setelah itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia bersama His Highness Amir Kuwait berkenan berangkat memeriksa Barisan Kehormatan Diraja yang terdiri daripada 27 anggota daripada Pasukan Kawalan Amiri.

Baginda kemudiannya berangkat bersama-sama His Highness Amir Kuwait ke Dewan Resepsi di Terminal Amiri, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuwait sebelum menaiki Kenderaan Khas menuju Hotel Regency, tempat persemayaman Baginda di sepanjang Keberangkatan Negara ke Kuwait, diiringi oleh Tuan Yang Terutama Sheikh Mohammad Abdullah Al-Mubarak Al-Sabah, Menteri Pengiring. Sejurus keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia di tempat persemayaman, Baginda dijunjung oleh Mr. Aurelio Giraudo, Pengurus Am Hotel Regency, Kuwait serta para kakitangan hotel.

Mengiringi keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke Kuwait ialah Menteri Kewangan II (Kedua) di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim dan Menteri Tenaga di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (Bersara) Dato Seri Setia (Dr.) Awang Haji Mohammad Yasmin bin Haji Umar.

Hubungan diplomatik di antara Negara Brunei Darussalam dan Kuwait yang terjalin sejak tahun 1990 terus berkembang meliputi kerjasama di pelbagai bidang. Pertukaran lawatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini juga telah berhasil mengukuhkan lagi ikatan erat kedua-dua negara.

Terdahulu sebelum berangkat dari Istana Nurul Iman, doa selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Awang Haji Abdul Aziz bin Juned.

Berangkat sama di Hangar Penerbangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Rimba bagi menyembahkan selamat berangkat kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik; dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel; serta ahli-ahli kerabat diraja yang lain.

Berangkat sama dan hadir di Hangar Penerbangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia bagi menyembahkan selamat berangkat kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Yang Amat Mulia Pengiran-pengiran Cheteria; Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara; Menteri-menteri Kabinet; Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Diraja; Timbalan-timbalan Menteri; Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei; Pemangku Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei dan wakil dari Kedutaan Besar Kuwait di Negara Brunei Darussalam.

ARTIKEL YANG SAMA