Baginda Sultan berangkat tinggalkan Malaysia

Baginda Sultan berangkat tinggalkan Malaysia

PULAU PINANG, 10 Mei – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha berkenan berangkat meninggalkan Malaysia selepas menghadiri Majlis Santapan Diraja sempena Pertabalan Sultan Perak Ke-35.

Berangkat mengiringi Baginda berdua ialah paduka anakanda-paduka anakanda Baginda, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah.

Sebelum berangkat meninggalkan Hotel Eastern and Oriental, Pulau Pinang, Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri berserta paduka anakanda Baginda dijunjung bagi sesi bergambar ramai bersama Orang Kaya-Kaya Seri Agar Diraja Tan Sri Datuk Seri Diraja Haji Ramli bin Ngah Talib, Orang Kaya Besar Perak dan isteri serta pegawai-pegawai kanan Kerajaan Negeri Perak.

Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang bagi menyembahkan selamat berangkat Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri ialah Tan Sri Datuk Seri Diraja Haji Ramli dan isteri; Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Haji Farizan bin Darus; Exco Pendidikan dan Ahli Dewan Undangan Negeri, Datuk Dr. Muhammad Amin bin Zakaria; Naib Canselor Universiti Sains Malaysia, Profesor Datuk Dr. Omar bin Osman; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi Pembangunan, Datuk Abu Jamal bin Nordin; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi Pengurusan, Encik Ghazali bin Derahman; Timbalan Mufti Pulau Pinang, Haji Mamat bin Said; dan Timbalan Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Muhamad bin Jantan serta pegawai-pegawai kanan yang lain.

Baginda Sultan berkenan menerima junjung ziarah sebelum berangkat meninggalkan Malaysia. - Gambar Infofoto
Baginda Sultan berkenan menerima junjung ziarah sebelum berangkat meninggalkan Malaysia. – Gambar Infofoto

Doa selamat kemudian dibacakan oleh Al-Fadhil Ustaz Mohd Lukmanulhakim bin Haji Mokhtar, Pegawai Tadbir Agama, Jabatan Agama Islam Pulau Pinang.

Turut hadir bagi menyembahkan selamat berangkat Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri, ialah Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Dato Paduka Haji Awang Alaihuddin bin Pehin Orang Kaya Digadong Seri Lela Dato Seri Utama Haji Awang Mohd. Taha dan datin, serta para pegawai Suruhanjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam di Malaysia.

Mengiringi keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Menteri Kewangan II (Kedua) di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim dan datin, serta Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan II (Kedua), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Dewa Dato Seri Setia Lim Jock Seng.

ARTIKEL YANG SAMA