Baginda Sultan berkenan berangkat ke Majlis Ilmu 2015

Baginda Sultan berkenan berangkat ke Majlis Ilmu 2015

Oleh Siti Nur Wasimah S & Salawati Haji Yahya

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Nov – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini, telah berkenan berangkat ke Majlis Perasmian Majlis Ilmu 2015 di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik.

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia serta kerabat diraja yang lain telah dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman serta ahli-ahli Jawatankuasa Pandu Majlis Ilmu yang lain.

Majlis bertema ‘Wasatiah Asas Kesejahteraan Sejagat’ ini dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dan kesimpulan maknanya.

Kemudian majlis diikuti dengan sembah alu-aluan daripada Yang Berhormat Pehin Haji Awang Badaruddin, yang antara lain menyembahkan bahawa Majlis Ilmu yang telah diadakan setiap tahun sejak 12 tahun lalu ini adalah sebahagian daripada Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan sebagai memberikan nilai tambah kepada perayaan serta menjadikannya sebahagian daripada pemangkin bagi penghayatan beragama yang meliputi berbagai bidang.

pg04_151110_b

Kebawah Duli Yang Maha Mulia berserta kerabat diraja yang lain berkenan dijunjung untuk sesi bergambar ramai pada Majlis Perasmian Majlis Ilmu 2015.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berserta kerabat diraja yang lain berkenan dijunjung untuk sesi bergambar ramai pada Majlis Perasmian Majlis Ilmu 2015.

pg04_151110_c

Kebawah Duli Yang Maha Mulia berserta kerabat diraja yang lain dijunjung berangkat untuk menyaksikan Pameran Majlis Ilmu 2015.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berserta kerabat diraja yang lain dijunjung berangkat untuk menyaksikan Pameran Majlis Ilmu 2015.

pg04_151110_g

pg04_151110_f

Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menandatangani plak kenangan Majlis Ilmu 2015.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menandatangani plak kenangan Majlis Ilmu 2015.

pg04_151110_h

Sehubungan dengan itu, sembah Yang Berhormat Pehin lagi, tema-tema Majlis Ilmu selama ia diadakan telah menyentuh berbagai-bagai aspek kehidupan, menerusi bidang kenegaraan, akidah dan syariah, bidang sosial, sejarah, kebudayaan, undang-undang, sains dan teknologi, kesihatan serta pendidikan dan profesionalisme.

Menurut Yang Berhormat Pehin, seminar Majlis Ilmu tahun ini mengetengahkan pembentang-pembentang tempatan dan luar negara yang dikendalikan bersama oleh Penyelenggara Majlis Ilmu dengan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan Rabitah Al-‘Alam Al-Islami (Muslim World League).

Majlis kemudian disusuli dengan Baginda Sultan berkenan mengurniakan titah sebelum berkenan dijunjung bagi Upacara Memulakan Penulisan Mushaf Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB).

Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudian berkenan mendengarkan Pembentangan Kertas Perdana Seminar bertajuk ‘Wasatiah Asas Kesejahteraan Sejagat’ yang telah disampaikan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

Antara para jemputan yang hadir pada majlis itu.
Antara para jemputan yang hadir pada majlis itu.

pg04_151110_j

Seterusnya, majlis diikuti dengan bacaan doa selamat, sebelum Baginda Sultan dan kerabat diraja lainnya berkenan berangkat menandatangani plak Majlis Ilmu 2015 dan menyaksikan Pameran Majlis Ilmu 2015 di Dewan Serba Guna, Pusat Persidangan Antarabangsa.

Baginda Sultan dan kerabat diraja lainnya turut dijunjung berangkat menyaksikan pameran di Balai Kenangan Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien. Sebelum berangkat pulang, Baginda Sultan dan kerabat diraja yang lain telah dijunjung untuk sesi bergambar ramai.

Majlis Ilmu 2015 dihasratkan dapat memberikan gambaran sebenar Wasatiah yang tersirat dalam Islam serta membetulkan tanggapan negatif terhadap ketelusan Islam yang mengamalkan prinsip Wasatiah dalam kehidupan.

Di samping itu, Majlis Ilmu 2015 juga dapat menerangkan konsep dan definisi Wasatiah yang sebenar bagi meningkatkan penghayatan ajaran Wasatiah dalam semua bidang kehidupan pada peringkat individu, keluarga, masyarakat dan negara.

ARTIKEL YANG SAMA