Baginda Sultan berkenan berangkat ke Sidang Kemuncak TPP

Baginda Sultan berkenan berangkat ke Sidang Kemuncak TPP

LIMA, Peru, 20 Nov – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pagi ini berkenan berangkat ke Sidang Kemuncak Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) yang diadakan di Lima Convention Center, Peru.

Pada sidang kemuncak tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dialu-alukan oleh Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, selaku hos bagi Sidang Kemuncak Perkongsian Trans-Pasifik (TPP).

Sidang Kemuncak TPP menumpukan kepada laporan status terkini mengenai ratifikasi dan prosedur ahli-ahli negara TPP.

Tajuk yang turut dijadikan bahan perbincangan adalah mengenai perkembangan daripada segi politik sejak perjanjian TPP ditandatangani pada 4 Februari lalu.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia dalam titah mengucapkan terima kasih kepada Presiden Obama atas penyampaian taklimat mengenai kedudukan TPP di Amerika Syarikat.

Baginda juga ia turut mengongsikan usaha-usaha Negara Brunei Darussalam untuk TPP diluluskan.

Pada mengakhiri titah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia melahirkan penghargaan kepada Presiden Obama atas kepimpinan dan dedikasi beliau kepada inisiatif TPP, dan seterusnya menghargai hubungan erat kedua-dua negara yang telah sekian lama dinikmati.

Sidang Kemuncak tersebut dihadiri oleh 12 buah negara TPP iaitu Australia, Negara Brunei Darussalam, Kanada, Republik Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Republik Peru, Republik Singapura, Amerika Syarikat, dan Republik Sosialis Vietnam.

Sementara itu pada sebelah petang, Kebawah Duli Yang Maha Mulia telah berkenan berangkat menghadiri Sesi Dialog Majlis Penasihat Perniagaan Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (ABAC) Bersama Ketua-ketua Ekonomi APEC di Lima Convention Center, Peru.