Baginda Sulta...

Baginda Sultan berkenan kurnia watikah pelantikan

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Feb – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mengurniakan Surat-surat Watikah Pelantikan kepada duta-duta besar Negara Brunei Darussalam yang baru dilantik dan menerima Surat-surat Tauliah Pelantikan daripada ketua-ketua perwakilan yang baharu ke negara ini. Majlis berlangsung di Istana Nurul Iman, petang ini.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia mula-mula berkenan mengurniakan Surat-surat Watikah Pelantikan kepada Duta Besar Negara Brunei Darussalam ke Kesultanan Oman, Haji Sulaini bin Haji Said dan Duta Besar Negara Brunei Darussalam ke Jepun, Dayang Kamilah binti Haji Mohd Hanifah.

Baginda Sultan berkenan bergambar ramai bersama Haji Sulaini dan Dayang Kamilah. – Gambar Infofoto
Baginda Sultan berkenan bergambar ramai bersama Haji Sulaini dan Dayang Kamilah. – Gambar Infofoto

Baginda seterusnya berkenan menerima Surat-surat Tauliah Pelantikan daripada Pesuruhjaya Tinggi Republik Rakyat Bangladesh ke Brunei, Air Vice Marshal Mahmud Hussain; Duta Besar Republik Sosialis Vietnam ke Brunei, Do Anh Tuan; Duta Besar Republik Turki ke Brunei, Mehmet Suat Akgun dan Duta Besar Republik Demokratik Timor-Leste ke Brunei, Marcal Avelino Ximenes,.

Selepas Majlis Mengurniakan Surat-Surat Watikah Pelantikan dan Menerima Surat-surat Tauliah Pelantikan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudian berkenan menerima mengadap duta-duta besar Negara Brunei Darussalam yang baru dilantik.

Haji Sulaini, sebelum ini menjawat jawatan sebagai Konsul Agung Negara Brunei Darussalam di Jeddah,  manakala Dayang Kamilah, pernah berkhidmat sebagai Pegawai Tugas-tugas Khas Kanan di Jabatan Kerjasama Ekonomi, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya berkenan menerima mengadap secara berasingan Ketua-Ketua Perwakilan yang baharu ke Negara Brunei Darussalam.

Air Vice Marshal Mahmud Hussain, sebelum ini bertugas sebagai Pengerusi Autoriti Penerbangan Awam Republik Rakyat Bangladesh; Do Anh Tuan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Pengarah di Akademi Diplomatik Vietnam, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri Republik Sosialis Vietnam; Mehmet Suat Akgun, sebelum ini menjawat jawatan sebagai Timbalan Ketua Pengarah bagi Asia Selatan di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri Republik Turki.

Manakala, Marcal Avelino Ximenes, pernah bertugas sebagai Pensyarah Kanan di National University of Timor Lorosa’e.

ARTIKEL YANG SAMA