Baginda Sultan berkenan lantik dua duta besar

Baginda Sultan berkenan lantik dua duta besar

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Jan – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kelmarin, berkenan mengurniakan surat-surat watikah pelantikan kepada duta besar istimewa dan mutlak Negara Brunei Darussalam yang baru dilantik dan berkenan menerima surat tauliah pelantikan daripada pesuruhjaya tinggi yang baru dilantik ke negara ini.

Pada majlis yang berlangsung di Istana Nurul Iman, Kebawah Duli Yang Maha Mulia mula-mula berkenan mengurniakan surat-surat watikah pelantikan kepada Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Amerika Syarikat, Tuan Yang Terutama Dato Paduka Haji Serbini bin Haji Ali dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Republik Demokratik Rakyat Laos, Tuan Yang Terutama Haji Na’aim bin Mohd Salleh.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya berkenan menerima surat tauliah pelantikan daripada Pesuruhjaya Tinggi India yang baru dilantik ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Nagma Mohamed Mallick.

Selepas Majlis Mengurniakan Surat Watikah Pelantikan dan Menerima Surat Tauliah Pelantikan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudian berkenan menerima mengadap secara berasingan duta-duta besar istimewa dan mutlak Negara Brunei Darussalam yang baru dilantik.

Tuan Yang Terutama Dato Paduka Haji Serbini, 60 tahun, pernah berkhidmat sebagai Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Belgium, manakala itu, Tuan Yang Terutama Haji Na’aim, 51 tahun, pula pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Sulit dan Laila Rahsia kepada Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Baginda Sultan berkenan menerima mengadap TYT Dato Paduka Haji Serbini (tengah, kanan) dan TYT Haji Na’aim (tengah, kiri). – Gambar Infofoto
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Baginda Sultan berkenan menerima mengadap TYT Dato Paduka Haji Serbini (tengah, kanan) dan TYT Haji Na’aim (tengah, kiri). – Gambar Infofoto
Baginda Sultan berkenan bergambar bersama TYT Dato Paduka Haji Serbini (kiri) dan TYT Haji Na’aim (kanan).
Baginda Sultan berkenan bergambar bersama TYT Dato Paduka Haji Serbini (kiri) dan TYT Haji Na’aim (kanan).
Baginda Sultan berkenan menerima mengadap TYT Dato Paduka Haji Serbini dan TYT Haji Na’aim.
Baginda Sultan berkenan menerima mengadap TYT Dato Paduka Haji Serbini dan TYT Haji Na’aim.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya berkenan menerima mengadap secara berasingan Puan Yang Terutama Nagma Mohamed Mallick, 48 tahun, yang pernah berkhidmat sebagai Duta Besar Istimewa dan Mutlak India ke Tunisia.

ARTIKEL YANG SAMA