Baginda Sultan berkenan lawat ISB

Baginda Sultan berkenan lawat ISB

Oleh Siti Nur Wasimah S, Syahmi Hassan & Imelda Groves HA

Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Feb – Bidang pendidikan di Negara Brunei Darussalam sering kali mendapat perhatian yang berterusan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Dalam memastikan keperluan para pelajar di negara ini adalah mencukupi dan teratur untuk mencapai kecemerlangan masing-masing, Baginda pagi tadi telah berkenan berangkat melawat ke Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB), Jalan Utama Salambigar, Kampung Sungai Hanching.

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia telah dijunjung oleh Pengetua Eksekutif ISB, Dr Steven Geraghty serta guru-guru dan kakitangan sekolah berkenaan.

Semasa lawatan tersebut, Baginda Sultan berkenan beramah mesra bersama-sama penuntut ISB dan melawat ke beberapa buah kelas seperti Tahun 3 dan 4.

pg03_160205_a

Gambar atas, bawah: Baginda Sultan berkenan menyaksikan aktiviti dalam kelas Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah.
Gambar atas, bawah: Baginda Sultan berkenan menyaksikan aktiviti dalam kelas Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah.
Baginda Sultan berkenan berangkat mengadakan lawatan ke ISB.
Baginda Sultan berkenan berangkat mengadakan lawatan ke ISB.
Baginda Sultan berkenan melawat bilik pembelajaran di ISB.
Baginda Sultan berkenan melawat bilik pembelajaran di ISB.

pg03_160205_e

Baginda Sultan berkenan beramah mesra dengan pelajar ISB. - Gambar Infofoto
Baginda Sultan berkenan beramah mesra dengan pelajar ISB. – Gambar Infofoto

Antara penuntut sekolah berkenaan ialah anakanda-anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah, cucunda-cucunda Baginda Sultan, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah dan juga ahli-ahli kerabat diraja yang lain.

Sekolah Antarabangsa Brunei dengan moto ‘Everyone Excels’ ditubuhkan pada tahun 1964 dan pada tahun 1970, sekolah berkenaan telah dipindahkan oleh pihak kerajaan ke Tapak Kuda.

Bagi menampung keramaian pelajar yang semakin meningkat, Sekolah ISB telah dipindahkan ke Jalan Dato Haji Ahmad, Berakas pada tahun 1985 dan pembukaan perasmian sekolah itu telah disempurnakan oleh Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna pada 9 Mac 1986.

Kampus terbaru ISB pula telah mula dibina pada 14 April, 2015 dan ia merupakan salah satu detik bersejarah bagi pembangunan ISB yang telah berada di negara ini lebih 50 tahun yang lalu. Berbanding dengan kampus ISB sebelumnya yang terletak di Jalan Dato Haji Ahmad, Berakas dengan mempunyai keluasan 3.5 ekar, kampus baru berkenaan mempunyai keluasan 22 ekar.

Kampus ISB ini juga dikenali sebagai kampus pertama di Brunei yang mempunyai status ‘Eco-School’ dan ia telah dianugerahkan ‘Green Mark’ daripada Pihak Berkuasa Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan di Brunei.

Sekolah ini adalah satu-satunya sekolah yang mempunyai status ‘Green Mark’ di Borneo dan juga di negara ini, di mana status ini merupakan penanda aras jaminan kualiti di Singapura kerana Singapura amat mementingkan penjimatan elektrik.

Melalui dengan status ‘Green Mark’ ini, setiap ruang dan bilik yang ada di bangunan itu tidak akan mendapat cahaya matahari secara langsung melalui tingkap-tingkap yang ada.

ISB buat masa ini menampung seramai 1,264 orang pelajar dan pada tahun lepas sekolah berkenaan telah mencapai keputusan terbaik bagi Tahun 11 Peringkat ‘O’ Level di mana lebih 90 peratus pelajar telah mencapai keputusan antara gred A dan C.

Menurut Dr Steven Geraghty, perancangan sekolah pada masa akan datang ialah meningkatkan lagi kemasukan pelajar dari luar negara seperti Hong Kong, Taiwan, Thailand, China dan banyak lagi dengan penyediaan penempatan asrama dengan kerjasama pihak-pihak kementerian yang terlibat di samping meningkatkan lagi nama sekolah ISB di negara ini.

Beliau berharap agar sekolah ISB ini dan pelajar-pelajar yang menuntut akan sentiasa bersatu padu dalam mengharumkan nama negara khususnya di dalam bidang pendidikan.

ARTIKEL YANG SAMA