Baginda Sultan berkenan rasmi masjid Mentiri

Oleh Syahmi Hassan
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Jun – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzadin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini berkenan menunaikan sembahyang fardu Jumaat pertama dan seterusnya merasmikan masjid baharu Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Mentiri yang kini dinamakan Masjid Hassanal Bolkiah, Kampung Mentiri.

Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

Berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel.

Sejurus keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, dijunjung menandatangani plak dan diiringi dengan laungan takbir sebanyak tiga kali yang dipimpin oleh Menteri Hal Ehwal Ugama.

Azan sembahyang fardu Jumaat yang pertama di masjid tersebut dilaungkan oleh imam Masjid Hassanal Bolkiah Kampung Mentiri. Manakala Khutbah Jumaat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

Sembahyang Fardu Jumaat diimamkan oleh Ketua Hakim Syarie, Yang Amat Arif/Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.

Baginda Sultan berkenan menandatangani plak perasmian masjid baharu RPN Kampung Mentiri.
Baginda Sultan berkenan menandatangani plak perasmian masjid baharu RPN Kampung Mentiri.

Masjid Hassanal Bolkiah Kampung Mentiri ini dibina atas titah perintah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 10 April 2017 untuk menggantikan Masjid RPN Kampung Mentiri yang terbakar pada 5 April lalu.

Pembinaannya bermula selepas satu jawatankuasa khas di bawah Pejabat Kebawah Duli Yang Maha Mulia dengan keahliannya terdiri daripada wakil-wakil Pejabat Kebawah Duli Yang Maha Mulia sendiri, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Pembangunan, Jabatan Peguam Negara, Pasukan Polis Diraja Brunei, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Tanah, Divisyen Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi), Jabatan Elektrik, Jabatan Kerja Raya dan pihak konsultan ditubuhkan.

Hasil daripada pemikiran dan cadangan yang disembahkan oleh jawatankuasa ini, maka Kebawah Duli Yang Maha Mulia telah mengurniakan titah supaya masjid baru RPN Kampung Mentiri dibina di tapak asal dengan mengambil kira akan keperluan penduduk kampung tersebut dan kawasan persekitarannya.

Kerja-kerja pembersihan tapak dilakukan pada 14 April manakala kerja-kerja asas pembinaan dilakukan pada 2 Mei lalu. Majlis peletakan batu asas pula diadakan pada 5 Mei dan ia siap dibina sepenuhnya pada Isnin, 19 Jun 2017 dengan pembinaan hanya mengambil masa dalam 49 hari bagi kegunaan menjelang Aidilfitri 1438H.

Masjid itu mempunyai keluasan 29,101.16 km persegi dan boleh menampung sehingga lebih 3,000 orang Jemaah.

Antara kemudahan yang terdapat di masjid ini ialah dewan sembahyang utama, dewan sembahyang perempuan, bilik mesyuarat, bilik kuliah, perpustakaan, bilik pengurusan jenazah dan tempat letak kereta yang boleh menampung sehingga 519 buah kenderaan dan masjid ini juga adalah masjid yang pertama di Negara Brunei Darussalam mempunyai lif untuk kemudahan para jemaah naik dan turun ke dewan sembahyang utama.

Dengan pembukaan Masjid Hassanal Bolkiah Kampung Mentiri ini diharap akan dapat memberi keselesaan kepada penduduk kampung serta jemaah yang menunaikan sembahyang fardu lima waktu dan sembahyang fardu Jumaat di kawasan tersebut.

Masjid ini juga dihasratkan akan digunakan oleh penduduk kampung untuk menjalankan aktiviti-aktiviti keagamaan bagi meningkatkan serta mengembangkan syiar Islam di Kampung Mentiri secara khususnya dan di Negara Brunei Darussalam secara amnya.