Baginda Sultan berkenan terima mengadap

Baginda Sultan berkenan terima mengadap

Oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Ogos – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Menteri Pertahanan dan Pemerintah Tertinggi Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), petang tadi berkenan menerima mengadap Menteri Pertahanan Republik Singapura, Dr. Ng Eng Hen, di Istana Nurul Iman.

Beliau berada di negara ini dalam lawatan rasmi sempena memperingati ulang tahun ke-40 hubungan pertahanan dua hala antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura.

Antara tujuan lawatan ini juga adalah bagi membincangkan hubungan pertahanan dua hala dan bertukar-tukar pandangan mengenai hal ehwal serantau dan antarabangsa.

pg01_160831_a

Turut hadir semasa majlis mengadap tersebut ialah Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura ke Negara Brunei Darussalam, Lim Hong Huai; Ketua Turus Pertahanan, Angkatan Bersenjata Republik Singapura, Leftenen Jeneral Dato Paduka Seri Perry Lim; Setiausaha Tetap (Pembangunan Pertahanan), Ng Chee Khern dan Panglima Tentera Laut, Republik Singapura, Laksamana Lai Chung Han.

Juga hadir Timbalan Menteri Pertahanan, Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz bin Haji Mohd Tamit; Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah dan Setiausaha Tetap di Kementerian Pertahanan, Datin Paduka Hajah Suriyah binti Haji Umar.