Baginda Sultan berkenan utus takziah

Baginda Sultan berkenan utus takziah

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Ogos – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menghantar titah-titah perutusan takziah kepada Presiden Republik Singapura, Dr Tony Tan Keng Yam dan Perdana Menteri Lee Hsien Loong berikutan dengan meninggalnya bekas Presiden Republik Singapura, S R Nathan baru-baru ini.

Dalam titah perutusan kepada Dr Tony Tan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha berasa sedih mengetahui tentang pemergiannya S R Nathan yang akan sentiasa diingati sebagai sahabat rapat yang sentiasa menyumbang dalam mempertingkatkan hubungan peribadi dan hubungan dua hala yang akrab di antara Negara Brunei Darussalam dengan Singapura.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri juga akan sentiasa mempunyai ingatan mesra terhadap mendiang S R Nathan dan juga isterinya, Urmila, terutama sekali semasa mereka membuat Lawatan Negara ke Brunei dalam tahun 2004.

Manakala dalam perutusan takziah yang sama kepada Perdana Menteri Lee Hsien Loong, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri berasa sedih mengetahui tentang pemergiannya S R Nathan, yang setentunya diingati di atas kepimpinan dan komitmennya yang mendalam terhadap hal ehwal rakyat Singapura.

Dedikasi dan pencapaiannya dalam perkhidmatan awam pula akan sentiasa menjadi ingatan dan ristaan kepada Singapura. Pada mengakhiri titah-titah perutusan tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri dan ahli kerabat Baginda serta juga kerajaan dan rakyat Negara Brunei Darussalam menghulurkan ucapan simpati yang amat mendalam dan takziah kepada Dr Tony Tan dan Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan juga kepada keluarga mendiang bekas Presiden Republik Singapura serta kerajaan dan rakyat Singapura.

ARTIKEL YANG SAMA