Baginda Sultan berkenan ziarah jenazah Allahyarham YAM Pengiran Jaya Indera

Baginda Sultan berkenan ziarah jenazah Allahyarham YAM Pengiran Jaya Indera

Oleh Syahmi Hassan

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Mei – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini berkenan berangkat menziarahi jenazah Allahyarham Yang Amat Mulia Pengiran Jaya Indera Pengiran Haji Mokhtar Puteh bin Pengiran Haji Rajid di kediamannya di Kampung Telanai.

Yang Amat Mulia Pengiran Jaya Indera kembali ke rahmatullah pada jam 7:40 malam tadi (23 Rejab 1437 Hijrah/30 April 2016) di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha pada usia 86 tahun.

Turut berangkat ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Duli Yang Teramat Mulia turut berkenan menunaikan Sembahyang Jenazah Berjemaah yang diimamkan oleh Mufti Kerajaan Brunei, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

Allahyarham Yang Amat Mulia Pengiran Jaya Indera meninggalkan 16 orang anak, 64 orang cucu dan 27 cicit, telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Telanai.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Mahkota berkenan menunaikan Sembahyang Jenazah berjemaah yang diimamkan oleh Mufti Kerajaan Brunei.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Mahkota berkenan menunaikan Sembahyang Jenazah berjemaah yang diimamkan oleh Mufti Kerajaan Brunei.

Allahyarham merupakan rakyat tempatan pertama dilantik sebagai Grand Chamberlain bagi keluarga diraja semasa pemerintahan Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien dan pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Allahyarham dilahirkan pada 19 September 1930 di Kampung Kianggeh, Bandar Brunei (kini Bandar Seri Begawan) dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kajang, Pekan Brunei dari tahun 1939 hingga 1942, kemudian meneruskan persekolahan di Roman Catholic Mission School, Pekan Brunei.

Semasa tentera Jepun memerintah Brunei, Allahyarham meneruskan pengajian di Arts School, Sarawak dari tahun 1942-1945 yang mana penuntutnya dididik dalam Sekolah Lantikan Tentera Laut.

Semasa hayatnya, Allahyarham pernah berkhidmat sebagai pegawai penyiaran dan penerangan di Daerah Brunei dan Muara, kemudian dilantik sebagai Ketua Adat Istiadat Diraja Dalam Istana pada 8 Mei 1968.

Pada 1995, Allahyarham berkhidmat di Pejabat Grand Chamberlain, Istana Darul Hana dalam jawatan yang sama.

Allahyarham kemudiannya diangkat menjadi Cheteria Tambahan di Bawah Cheteria 16, menjadi Cheteria 16 Pengiran Penggawa Laila Bentara Istiadat Diraja dalam Istana pada 4 Mei 1968, dinaikkan pangkat gelaran kepada Cheteria 16 Pengiran Jaya Indera pada 9 Mei 1996.

Allahyarham juga pernah dikurniakan dengan beberapa bintang kebesaran dan pingat kehormatan antaranya ialah Darjah Seri Paduka Mahkota Brunei Yang Amat Mulia Darjah Kedua (membawa gelaran Dato Paduka) pada tahun 1968; Darjah Setia Negara Brunei Yang Amat Bahagia Darjah Kedua (membawa gelaran Dato Setia) pada tahun 1968; Darjah Kerabat Seri Utama Yang Amat Dihormati (membawa gelaran Dato Seri Utama) pada tahun 1970; dan Darjah Kerabat Laila Utama Yang Amat Dihormati (dengan gelaran Dato Laila Utama) pada tahun 1972.

Dengan gelaran berkenaan, beliau bertanggungjawab dalam memantau usaha penyelidikan bagi perkara yang dianggap boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman negara serta mengadakan penyelidikan dan kajian mengenai masalah berkaitan untuk disembah maklumkan kepada Sultan.

ARTIKEL YANG SAMA