Baginda Sulta...

Baginda Sultan hadiri pengebumian KM Sarawak

KUCHING, 12 Jan – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini berkenan berangkat menghadiri upacara pengebumian negeri Allahyarham Tan Sri Datuk Patinggi Haji Adenan bin Haji Satem, Ketua Menteri Sarawak di Tanah Perkuburan Islam Semariang, di sini.

Terdahulu, keberangkatan tiba Baginda di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dijunjung oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Datuk Amar Haji Mohd Asfia bin Awang Nassar selaku Menteri Pengiring dan isteri dan Menteri Muda Perumahan dan Menteri Muda Belia dan Sukan, Datuk Haji Abdul Karim Rahman Hamzah.

Turut hadir menjunjung keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Malaysia, Dato Paduka Haji Awang Alaihuddin bin Pehin Orang Kaya Digadong Seri Lela Dato Seri Utama Haji Awang Mohd Taha.

Dari lapangan terbang, Baginda berkenan berangkat menuju ke Masjid Jamek, Petra Jaya bagi upacara penghormatan terakhir, dan seterusnya solat Fardhu Zohor dan solat Jenazah.

Baginda seterusnya dijunjung berangkat bagi menyertai upacara pengebumian Allahyarham Tan Sri Haji Adenan di Tanah Perkuburan Islam di Samariang, Petra Jaya, Kuching.

Baginda Sultan berkenan menunaikan solat Jenazah yang diimamkan oleh Imam Besar Masjid Jamek Sarawak. - Gambar Bernama
Baginda Sultan berkenan menunaikan solat Jenazah yang diimamkan oleh Imam Besar Masjid Jamek Sarawak. – Gambar Bernama
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menyiram air mawar di pusara Allahyarham Tan Sri Haji Adenan di Tanah Perkuburan Islam Semariang, Kuching kelmarin. – Gambar Bernama
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menyiram air mawar di pusara Allahyarham Tan Sri Haji Adenan di Tanah Perkuburan Islam Semariang, Kuching kelmarin. – Gambar Bernama

Semasa upacara pengebumian itu, Imam Besar Masjid Jamek Sarawak, Mustapha Kamal Ahmad Fauzi memimpin bacaan Talkin. Anak-anak dan cucu-cucu Allahyarham turut hadir semasa upacara pengebumian tersebut.

Setelah bacaan Talkin, ketua pasukan pengusung kemudian menyerahkan bendera Sarawak sebagai penghormatan tertinggi kerajaan negeri dan rakyat kepada Yang Di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Dato Laila Utama Pehin Sri Haji Abdul Taib bin Mahmud yang kemudian menyerahkannya kepada isteri Allahyarham, Datin Patinggi Puan Sri Hajah Jamilah binti Haji Anu.

Allahyarham Tan Sri Haji Adenan, 72, meninggalkan seorang isteri, empat orang anak perempuan dan seorang anak lelaki.

Beliau dilahirkan pada tahun 1944 di Kuching, Sarawak dan mendapat pendidikan awal di Sekolah St. Joseph, Kuching, sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang di University of Adelaide, Australia.

Beliau telah memulakan karier sebagai Majistret di Kuching pada tahun 1970, kemudian menyertai politik di mana beliau menjadi Menteri Muda Kemajuan Tanah Sarawak selama dua tahun sehingga 1987.

Beliau kemudiannya dilantik sebagai Menteri Kemajuan Tanah Sarawak pada 1987 to 1992.

Beliau telah dilantik sebagai Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar di peringkat persekutuan pada tahun 2004. Allahyarham Tan Sri Haji Adenan telah dilantik sebagai Ketua Menteri ke-lima Sarawak pada 28 Februari 2014.