Baginda Sultan selamat berangkat tiba di Beijing

Oleh Hajah Saemah Kepli

Gambar oleh Infofoto

 

BEIJING, 12 Sept – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam malam ini berangkat tiba di Beijing, Republik Rakyat China bagi Keberangkatan Negara.

Berangkat mengiringi Baginda ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing Capital dijunjung oleh Penolong Menteri Hal Ehwal Luar Negeri, Republik Rakyat China, Chen Xiaodong.

Turut sama menjunjung keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Duta Besar Negara Brunei Darussalam ke Republik Rakyat China, Datin Paduka Magdalene Teo Chee Siong.

Sejurus keberangkatan tiba, Kebawah Duli Yang Maha Mulia disembahkan dengan sejambak bunga.

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing Capital.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia disembahkan dengan sejambak bunga.
Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan sebelum Baginda Sultan berangkat meninggalkan tempat persemayaman Baginda di Nanning.

Baginda seterusnya berangkat melintasi Kawalan Statik yang dianggotai oleh tentera People’s Liberation Army dan Baginda kemudiannya dijunjung menaiki kenderaan khas menuju ke sebuah hotel terkemuka di Beijing, tempat persemayaman di sepanjang Keberangkatan Negara.

Terdahulu, sebelum berangkat meninggalkan hotel persemayaman Baginda di Nanning, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

Sebelum berangkat menaiki Pesawat Diraja, Kebawah Duli Yang Maha Mulia disembahkan dengan persembahan kebudayaan daripada para penuntut tempatan.

Berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Nanning Wuxu bagi menyembahkan selamat berangkat kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Vice Chairman of Guangxi Zhuang Autonomous Region People’s Political Consultative Conference, Mo Changying dan Naib Datuk Bandar Beihai, Huang Jiang.

Turut hadir bagi menyembahkan selamat berangkat kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof dan Timbalan Menteri Kewangan (Pelaburan), Dato Seri Paduka Dr. Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.

Hubungan diplomatik antara Negara Brunei Darussalam dan China mula terjalin pada 30 September 1991. Kedua-dua buah negara menikmati kerjasama yang semakin meluas dalam pelbagai bidang seperti perdagangan dan pelaburan, tenaga, pertanian, pertahanan, ICT, budaya, perkhidmatan udara, pelancongan, kesihatan, dan pendidikan.