Baginda Sultan tinjau eksesais

Baginda Sultan tinjau eksesais

Oleh Sim Y. H. & Pg Fairol RMF

Gambar Oleh Muiz Matdani, Pg Fairol RMF & Sim Y.H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Mei – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Menteri Pertahanan dan Pemerintah Tertinggi Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) hari ini berkenan berangkat menyaksikan Eksesais Sekuriti Maritim dan Pencegahan Pengganasan Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN-Plus (ADMM-Plus MS & CT) yang berlangsung di perairan negara.

Eksesais pelbagai hala selama 12 hari yang bermula 1 Mei lalu itu, melibatkan kapal dan aset-aset tentera laut dari 18 buah negara, bertujuan meningkatkan kerjasama ketenteraan dan kesalingfungsian di antara negara-negara ASEAN-Plus dalam menangani ancaman pengganasan dan keselamatan maritim.

Keberangkatan Baginda Sultan di Pusat Koordinasi Berbilang Negara (MNCC), Muara dijunjung oleh Menteri Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Yasmin bin Haji Umar; Timbalan Menteri Pertahanan, Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz bin Haji Mohd Tamit dan Pemerintah ABDB, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah.

Baginda kemudiannya dijunjung ke bilik persidangan dan berkenan mendengarkan sembah alu-aluan daripada Pemerintah ABDB, dan diikuti dengan sembah taklimat daripada Pengarah Eksesais Bersama, Pemerintah Angkatan Bersama ABDB, Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Hamzah bin Haji Sahat. Pemerintah ABDB dalam sembah taklimatnya menyembahkan eksesais tersebut menyediakan ketelusan dan Komunikasi terbuka yang sangat diperlukan bagi meredakan sebarang ketegangan, memantapkan tahap kesetiaan dan membina kerjasama lebih rapat dalam kalangan negara yang menyertainya.

Ianya petanda jelas sebagai komitmen dan sokongan yang berterusan bagi inisiatif-inisiatif kerjasama ADMM Plus bagi meningkatkan keamanan, keselamatan dan kestabilan serantau.

Baginda Sultan berkenan menyaksikan serangan anti pengganasan ke atas kapal yang melibatkan pasukan-pasukan khas negara-negara ADMM-Plus.
Baginda Sultan berkenan menyaksikan serangan anti pengganasan ke atas kapal yang melibatkan pasukan-pasukan khas negara-negara ADMM-Plus.
Baginda Sultan berkenan bergambar ramai semasa berangkat ke kapal induk tentera Jepun, JDS Ise DDH-182. - Gambar Infofoto
Baginda Sultan berkenan bergambar ramai semasa berangkat ke kapal induk tentera Jepun, JDS Ise DDH-182. – Gambar Infofoto

KDYMM semasa berkenan melawat kapal Jepun.

Baginda Sultan berkenan menandatangani lembaran keberangkatan. - Gambar Pg Fairol RMF
Baginda Sultan berkenan menandatangani lembaran keberangkatan. – Gambar Pg Fairol RMF
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan santap tengah hari di Mes Pegawai TLDB bersama ahli-ahli Komiti Eksekutif Pertahanan, ketua-ketua dan wakil ADSOM-Plus, ketua-ketua delegasi Eksesais ADMM-Plus MS & CT.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan santap tengah hari di Mes Pegawai TLDB bersama ahli-ahli Komiti Eksekutif Pertahanan, ketua-ketua dan wakil ADSOM-Plus, ketua-ketua delegasi Eksesais ADMM-Plus MS & CT.

pg01_160505_b

Sementara itu, Brig. Jen. (U) Dato Seri Pahlawan Haji Hamzah dalam sembah taklimatnya menekankan latihan tersebut dapat meningkatkan kerjasama tentera secara praktikal secara peringkat ASEAN dan ke peringkat dialog rakan-rakan ASEAN.

Latihan dibahagikan kepada dua segmen iaitu di perairan Brunei bagi latihan keselamatan maritim dan latihan mencegah keganasan pula akan diadakan di Republik Singapura.

Eksesais di perairan negara selama lima hari bermula Ahad lalu membabitkan beberapa latihan taktikal dijalankan di laut.

Selepas taklimat eksesais, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan meninjau ke Ibu Pejabat Pasukan Petugas Keselamatan Maritim dan Pusat Penyelaras Eksesais bagi Eksesais ADMM-Plus MS & CT di Pusat MNCC, Muara.

Sejurus selepas itu, Baginda berkenan berangkat ke tapak pendaratan pesawat di padang bola Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) untuk menaiki pesawat helikopter ABDB Blackhawk S-70i menuju ke KDB DARUTTAQWA.

Semasa dalam penerbangan, Baginda berkenan membuat tinjauan udara ke atas kapal-kapal tentera laut ADMM-Plus yang berlabuh di perairan Brunei sebelum mendarat di atas KDB DARUTTAQWA.

Keberangkatan Baginda di KDB DARUTTAQWA dijunjung oleh Pengerusi Bersama (Brunei) bagi Kumpulan Kerja Pakar Keselamatan Maritim (EWG MS) ADMM-Plus, Timbalan Pemerintah TLDB, Kapten Haji Othman bin Haji Suhaili @ Suhaily.

Semasa di KDB DARUTTAQWA, Baginda berkenan menyaksikan serangan anti pengganasan ke atas kapal yang melibatkan pasukan-pasukan khas negara-negara ADMM-Plus.

Dari KDB DARUTTAQWA, Baginda berkenan berangkat terbang ke kapal induk tentera Jepun, JDS Ise DDH-182. Kapal tersebut dilengkapi dengan peralatan berteknologi tinggi yang mampu menampung pendaratan pesawat helikopter sehingga empat buah dalam satu masa. Baginda juga berkenan untuk melihat lebih dekat kemudahan yang terdapat di kapal itu.

Dari kapal Jepun JDS Ise, Baginda berkenan berangkat terbang ke Mes Pegawai TLDB bagi santap tengah hari bersama ahli-ahli Komiti Eksekutif Pertahanan, ketua-ketua dan wakil ADSOM-Plus, ketua-ketua delegasi Eksesais ADMM-Plus MS & CT, dan para pegawai kanan yang terlibat dalam latihan itu.

Keberangkatan Baginda di Mes Pegawai TLDB dijunjung oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Pertahanan, Datin Paduka Hajah Suriyah binti Haji Umar; Pemerintah Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB), Brigedier Jeneral Pengiran Dato Seri Pahlawan Aminan bin Pengiran Haji Mahmud; Pemerintah Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB), Kolonel (U) Shahril Anwar bin Haji Ma’awiah; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar Pertahanan dan Pembangunan), Awang Abu Sufian bin Haji Ali dan Timbalan Setiausaha Tetap (Teknologi), Kapten (B) Haji Mohammad Amirul Shahnoel bin Haji Mohammad Noeh.

Sebelum berangkat balik, Baginda berkenan menerima pesambah dan diakhiri dengan menandatangani lembaran keberangkatan serta sesi bergambar.

Eksesais ADMM-Plus MS & CT dianjurkan bersama oleh ABDB dan Angkatan Bersenjata Republik Singapura selepas kejayaan Eksesais Bantuan Kemanusiaan dan Bencana dan Perubatan Tentera ADMM-Plus (Eks. ADMM Plus HADR & MM) pada 2013.

Penglibatan Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura selaku pengerusi bersama eksesais ini adalah sangat penting memandangkan keperluan utamanya adalah menyelaras dan menyatukan semua aset negara-negara yang terlibat yang mempunyai prosedur dan tatacara yang berlainan dalam menangani senario latihan.

Eksesais akan berakhir di Republik Singapura pada 12 Mei ini.

ARTIKEL YANG SAMA