Baginda Sultan utus tahniah

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Julai – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menghantar titah perutusan tahniah kepada Ram Nath Kovind berikutan pelantikannya sebagai Presiden Republik India yang ke-14.

Di dalam titah perutusan tersebut, Baginda Sultan berharap Ram Nath Kovind akan beroleh kejayaan dalam menyandang jawatan barunya itu dan berharap akan dapat bekerja sama rapat dengan beliau dalam meningkatkan tali persahabatan yang mesra dan kerjasama yang rapat di antara Negara Brunei Darussalam dan Republik India dan rakyat masing-masing yang telah sekian lama terjalin.

Pada mengakhiri titah perutusan tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia menyampaikan salam muhibbah kepada Ram Nath Kovind.