Baginda Sultan utus tahniah kepada Agong

Baginda Sultan utus tahniah kepada Agong

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Ogos – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menghantar titah-titah perutusan tahniah kepada Yang Di-Pertuan Agong Malaysia, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Almu’tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu’adzam Shah ibni Al-Marhum Sultan Badlishah dan Perdana Menteri Malaysia, Dato Laila Utama Datuk Seri Mohd Najib bin Tun Razak serta kerajaan dan rakyat Malaysia bersempena dengan Ulang Tahun Hari Kemerdekaan Malaysia.

Dalam titah perutusan itu, Baginda Sultan dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, kerajaan dan juga rakyat Negara Brunei Darussalam mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Di-Pertuan Agong dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah serta kerajaan dan juga rakyat negara berkenaan sempena Ulang Tahun Hari Kemerdekaan.

Baginda seterusnya sangat menghargai hubungan silaturahim dan kerjasama erat serta mesra yang sekian lama terjalin di antara Negara Brunei Darussalam dan Malaysia dan yakin bahawa hubungan yang sedia ada ini akan terus berkekalan dan dipertingkatkan lagi pada masa-masa akan datang, khususnya demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat kedua-dua buah negara.

Sementara itu dalam titah perutusan kepada Dato Laila Utama Datuk Seri Mohd Najib, Baginda melahirkan perasaan gembira kedua-dua buah negara terus menikmati tali persahabatan dan jalinan silaturahim yang sangat erat dan mesra serta menyatakan keyakinan akan terus bekerjasama rapat dengan beliau dalam mengembang majukan hubungan kerjasama ini di peringkat dua hala, serantau dan antarabangsa demi kepentingan kedua-dua buah negara.

Pada mengakhiri perutusan-perutusan tersebut, Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri berdoa semoga Yang Di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong serta kerabat diraja yang lain sentiasa dalam keadaan sihat dan dalam pemeliharaan Allah Subhanahu Wata’ala juga dan begitu juga kepada Dato Laila Utama Datuk Seri Mohd Najib dan Datin Paduka Seri Rosmah Mansor serta keluarga, dan semoga kerajaan dan rakyat Malaysia akan sentiasa menikmati keamanan dan kemakmuran yang berkekalan.

ARTIKEL YANG SAMA