Baginda Sultan utus tahniah kepada Agong

Baginda Sultan utus tahniah kepada Agong

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Ogos – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan menghantar titah-titah perutusan tahniah kepada Yang Di-Pertuan Agong Malaysia, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Alhaj Al-Mu’tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Perdana Menteri Malaysia, Dato Laila Utama Datuk Seri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak serta kerajaan dan rakyat Malaysia sempena dengan Ulang Tahun Hari Kemerdekaan Malaysia tahun ini.

Dalam titah perutusan kepada Yang Di-Pertuan Agong, Baginda bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala dengan jalinan silaturahim dan hubungan kerjasama dua hala yang sangat erat dan baik di antara Negara Brunei Darussalam dan Malaysia.

Baginda yakin tali persaudaraan ini akan terus dipupuk demi kepentingan dan manfaat rakyat kedua-dua buah negara.

Pada mengakhiri titah perutusan tersebut, Baginda berserta Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha berdoa semoga Allah Subhanahu Wata’ala akan sentiasa mengurniakan kesejahteraan dan perlindungan kepada Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Malaysia dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah serta keluarga diraja dan semoga kerajaan serta seluruh rakyat Malaysia akan sentiasa menikmati keamanan dan kemakmuran yang berkekalan.

Sementara itu, dalam titah perutusan kepada Perdana Menteri Malaysia, Baginda bersyukur tali persahabatan serta hubungan kerjasama dua hala yang akrab dan mesra antara kerajaan dan rakyat kedua-dua buah negara terus menjadi pemangkin kepada usaha untuk mencapai kesejahteraan dan kepentingan bersama.

Baginda seterusnya turut menghargai kunjungan Dato Laila Utama Datuk Seri Mohd Najib ke Brunei pada awal bulan ini bersempena dengan Perundingan Tahunan Kali ke-19.

Baginda yakin kedua-dua buah negara akan terus komited untuk mempertingkatkan dan memperkukuhkan lagi hubungan rakyat dan kerajaan melalui pelbagai rangka kerjasama dua hala, serantau dan antarabangsa.

Baginda sekali lagi mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Perdana Menteri dan juga kerajaan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2015 dan mengalu-alukan Sidang Kemuncak ASEAN Kali ke-27 pada bulan November nanti.

Pada mengakhiri titah perutusan tersebut, Baginda berserta Baginda Raja Isteri berdoa semoga Dato Laila Utama Datuk Seri Mohd Najib dan isteri Datin Paduka Seri Rosmah Mansor, serta kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia akan sentiasa dalam perlindungan Allah Subhanahu Wata’ala jua.

Sementara itu, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan juga berkenan menghantar perutusan tahniah kepada Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Anifah bin Haji Aman sempena dengan Ulang Tahun Hari Kemerdekaan Malaysia tahun ini.

Dalam sabda perutusan tersebut, Duli Yang Teramat Mulia gembira dapat bertemu Datuk Seri Anifah semasa Perundingan Tahunan Pemimpin-pemimpin kali ke-19 di Brunei dan semasa Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Duli Yang Teramat Mulia juga mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Anifah di mana Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini serta sangat menghargai sumbangan beliau dalam menjadikannya satu kejayaan.

Duli Yang Teramat Mulia berharap untuk terus bekerja bersama dengan beliau untuk mengukuhkan lagi hubungan persahabatan yang sangat rapat antara rakyat Brunei dan Malaysia serta kerjasama erat dan sangat berharga antara kedua-dua buah negara pada tahun-tahun mendatang.

ARTIKEL YANG SAMA