Baginda Sultan utus tahniah kepada Kemboja

Baginda Sultan utus tahniah kepada Kemboja

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Nov – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menghantar titah-titah perutusan tahniah kepada Raja Kemboja, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Norodom Sihamoni dan Perdana Menteri Kemboja, Tuan Yang Terutama Samdech Akka Moha Sena Padel Techo Hun Sen, kerajaan dan rakyat negara itu bersempena Ulang Tahun Hari Kemerdekaan Kemboja ke-62 tahun.

Dalam titah perutusan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Norodom Sihamoni, Baginda Sultan sangat menghargai hubungan persahabatan mesra dan kerjasama rapat di antara Negara Brunei Darussalam dan Kemboja. Baginda seterusnya melahirkan harapan akan dapat mengukuhkan persahabatan yang sungguh bernilai ini pada tahun-tahun akan datang.

Sementara itu, dalam perutusan kepada TYT Samdech Akka Moha Sena Padel Techo Hun Sen, Baginda menzahirkan rasa kegembiraan kerana dapat bekerjasama dengan Tuan Yang Terutama selama ini dan berharap dapat meneruskan kerjasama berkenaan ke arah mengukuhkan hubungan dua hala dan serantau yang bernilai ini, terutamanya dalam ASEAN.

Pada mengakhiri titah perutusan itu, Baginda menyampaikan salam muhibah dan kesejahteraan serta kesihatan yang berterusan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Norodom Sihamoni dan juga bagi kemakmuran rakyat dan Negara Kemboja, manakala itu, kepada TYT Samdech Akka Moha Sena Padel Techo Hun Sen, Baginda menyampaikan salam muhibah kepada Tuan Yang Terutama dan keluarganya sempena perayaan Hari Kemerdekaan tersebut.

ARTIKEL YANG SAMA