Baginda Sultan utus tahniah kepada Maharaja Jepun

Baginda Sultan utus tahniah kepada Maharaja Jepun

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Dis – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menghantar titah-titah perutusan tahniah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Maharaja Jepun, Maharaja Akihito dan Perdana Menteri Jepun, Tuan Yang Terutama Shinzo Abe sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Maharaja Akihito yang ke-82 tahun.

Dalam titah perutusan tersebut, Baginda Sultan menghargai persahabatan dan kerjasama yang sekian lama dinikmati di antara Brunei dan Jepun serta berharap akan dapat mengukuhkan lagi persahabatan yang bernilai ini bagi manfaat rakyat kedua-dua buah negara.

Baginda mengakhiri titah perutusan tersebut dengan menyampaikan salam sejahtera kepada Maharaja Akihito dan semoga Baginda sentiasa berada dalam keadaan sihat walafiat dan begitu juga hendaknya kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Maharani Michiko dan ahli keluarga diraja yang lain.

Sementara itu, dalam titah perutusan kepada Perdana Menteri Shinzo Abe, Baginda Sultan merakamkan kegembiraan dapat berjumpa dengan Tuan Yang Terutama semasa Sidang Kemuncak ASEAN pada November lalu di Kuala Lumpur. Baginda seterusnya berharap pada masa depan, akan dapat peluang lagi untuk meningkatkan hubungan peribadi dan dua hala yang bernilai di antara kedua-dua buah negara.

Baginda mengakhiri titah perutusan dengan menyampaikan salam muhibah kepada Tuan Yang Terutama Shinzo Abe dan semoga akan sentiasa berada dalam keadaan sihat dan bergembira.