Baginda Sultan utus tahniah kepada Ratu Elizabeth II

Baginda Sultan utus tahniah kepada Ratu Elizabeth II

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Jun – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzadin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, telah berkenan menghantar perutusan tahniah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Ratu Elizabeth II, Queen of the United Kingdom (UK) of Great Britain and Northern Ireland, sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Ratu Elizabeth II.

Baginda Sultan juga turut berkenan menghantar perutusan tahniah kepada Perdana Menteri UK, Tuan Yang Terutama David Cameron, ahli-ahli kerabat diraja, kerajaan dan rakyat UK dan Northern Ireland sempena sambutan berkenaan.

Dalam perutusan kepada Ratu Elizabeth II, Kebawah Duli Yang Maha Mulia sangat gembira berjumpa Baginda Ratu semasa upacara meraikan 200 tahun perkhidmatan Gurkha dengan kerajaan Ratu Elizabeth II.

Baginda seterusnya bertitah bahawa Negara Brunei Darussalam menganggap upacara tersebut sebagai mercu tanda yang mustahak dalam sejarah yang dikongsi bersama oleh kedua-dua buah negara dan Baginda gembira menghadiri perayaan tersebut.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya sangat menghargai sokongan Ratu Elizabeth II dalam meningkatkan hubungan yang sudah lama terjalin di antara kedua-dua buah negara dan berharap untuk berpeluang mengukuhkan lagi talian tradisi yang amat bernilai itu.

Baginda Sultan semasa perjumpaan bersama Baginda Ratu Elizabeth II, pada Majlis Sambutan Perkhidmatan Tentera Gurkha kepada Kerajaan Inggeris yang ke-200 tahun di Royal Hospital Chelsea, London, United Kingdom, baru-baru ini. – Infofoto
Baginda Sultan semasa perjumpaan bersama Baginda Ratu Elizabeth II, pada Majlis Sambutan Perkhidmatan Tentera Gurkha kepada Kerajaan Inggeris yang ke-200 tahun di Royal Hospital Chelsea, London, United Kingdom, baru-baru ini. – Infofoto

Pada mengakhiri perutusan, Baginda Sultan menyampaikan salam muhibah semoga Ratu Elizabeth II sentiasa dalam sihat sejahtera dan kebahagiaan yang berterusan.

Dalam perutusan kepada Perdana Menteri UK pula, Kebawah Duli Yang Maha Mulia menyatakan perasaan amat gembira bekerja dengan Tuan Yang Terutama terutamanya sepanjang tahun ini untuk mengukuhkan kerjasama yang bernilai lagi mesra di antara kedua-dua buah negara dan rakyat.

Baginda Sultan seterusnya berharap untuk meningkatkan lagi rakan perkongsian yang mustahak ini pada tahun-tahun yang akan datang.

Pada mengakhiri perutusan kepada TYT David Cameron, Baginda menyampai salam muhibah.

Sementara itu, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar, Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan, turut menghantar perutusan tahniah kepada Setiausaha Negara bagi Hal Ehwal Luar Negeri dan Komanwel, UK dan Northern Ireland, Tuan Yang Terutama Philip Hammond, dan rakyat negara itu sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ratu Elizabeth II.

Dalam perutusan itu, Duli Yang Teramat Mulia menghargai hubungan berpanjangan dan kerjasama tradisi yang dikongsi oleh rakyat kedua-dua buah negara dalam pelbagai bidang kerjasama di sektor awam dan swasta.

Duli Yang Teramat Mulia mengakhiri perutusan dengan menyampaikan salam muhibah kepada Tuan Yang Terutama dan keluarga dan mendoakan kegembiraan dan kemakmuran rakyat UK.