Baginda Sultan utus tahniah

Baginda Sultan utus tahniah

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Dis – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menghantar titah-titah perutusan tahniah kepada Presiden Republik Demokratik Rakyat Lao, Bounnhang Vorachith; Perdana Menteri, Dr. Thongloun Sisoulith, kerajaan dan rakyatnya sempena Hari Kebangsaan republik itu yang ke-41.

Di dalam titah perutusan Kebawah Duli Yang Maha Mulia kepada Bounnhang Vorachith, Baginda berharap untuk memperbaharui peluang dalam mengukuhkan persahabatan yang mesra dan kerjasama yang bernilai di antara kedua-dua negara dan rakyat pada tahun-tahun mendatang.

Dalam titah perutusan yang sama kepada Dr. Thongloun Sisoulith, Baginda menzahirkan penghargaan yang amat mendalam di atas sumbangan peribadi yang beliau hulurkan dalam memelihara persahabatan erat yang dinikmati bersama di antara kedua-dua negara dan rakyat, dan seterusnya berharap untuk terus mengukuhkan lagi kerjasama bernilai yang sudah sekian lama terjalin.

Pada mengakhiri titah-titah perutusan tersebut, Baginda menyampaikan salam muhibbah dan selamat menyambut Hari Kebangsaan kepada Bounnhang Vorachith dan keluarga dan Dr. Thongloun Sisoulith serta berharap semoga semuanya sentiasa sihat wal’afiat dalam kegembiraan.