Baginda Sulta...

Baginda Sultan utus takziah

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Jan – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha telah berkenan menghantar titah perutusan takziah kepada Yang Di-Pertuan Negeri Sarawak, Tun Dato Laila Utama Pehin Sri Haji Abdul Taib bin Mahmud berikutan dengan kembalinya ke rahmatullah Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Datuk Patinggi Haji Adenan bin Haji Satem hari ini ini.

Dalam perutusan tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri berasa terkejut mengetahui tentang kembalinya ke rahmatullah Tan Sri Haji Adenan, yang akan sentiasa diingati sebagai sahabat rapat yang banyak menyumbang dalam mempertingkatkan hubungan peribadi dan akrab di antara Negara Brunei Darussalam dan Sarawak.

Dalam mengakhiri perutusan tersebut, Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri ingin menyampaikan ucapan takziah dan rasa simpati yang amat mendalam kepada Tun Dato Laila Utama Pehin Sri Haji Abdul Taib dan keluarga serta kerajaan negeri Sarawak terutamanya kepada keluarga Allahyarham Tan Sri Datuk Patinggi Haji Adenan dan seterusnya berdoa semoga Allah Subhanahu Wata’ala mencucuri rahmat-Nya ke atas roh Allahyarham dan menempatkannya dikalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

Allahyarham Tan Sri Datuk Patinggi Haji Adenan, 72, meninggal dunia di Pusat Jantung Kota Samarahan, Kuching pada kira-kira jam 1:20 tengah hari tadi akibat komplikasi jantung.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Haji Abang Johari bin Tun Haji Abang Openg semasa mengumumkan berita kematian Tan Sri Haji Adenan dalam sidang media khas di Bilik Gerakan Negeri, Wisma Bapa Malaysia di Kuching hari ini berkata, rakyat Sarawak kehilangan ketua menteri serta seorang pemimpin yang ingin membawa negeri ini ke arah yang lebih cemerlang.

Beliau yang kelihatan sebak ketika mengumumkan berita kematian Tan Sri Adenan, berkata rakyat kehilangan seorang anak watan yang begitu berjasa kepada negeri dan negara.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Mohd Morshidi Abdul Ghani.

Menurut Datuk Amar Haji Abang Johari, semalam merupakan kali terakhir beliau dan Uggah bertemu Tan Sri Adenan, beberapa hari selepas Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Datu itu mendapatkan rawatan di Pusat Jantung Sarawak di Kota Samarahan.

“Allahyarham agak ceria semasa saya bertemu beliau semalam. Saya mengenali beliau sejak zaman kanak-kanak lagi kerana kami berasal dari kampung yang sama dan Tan Sri Adenan sangat bijak orangnya.

“Beliau bergaul rapat dengan semua orang. Ia satu kehilangan besar kepada kami, terutamanya warga Sarawak. Allahyarham amat merendah diri dan mempunyai banyak idea,” katanya.

Datuk Amar Haji Abang Johari berkata jenazah Tan Sri Haji Adenan akan dibawa dari kediamannya di Damai Jaya, Santubong ke Masjid Jamek Negeri Sarawak di Petra Jaya pada 10 pagi esok sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Samariang selepas solat Zohor.