Baginda Sultan utus takziah kepada Perancis

Baginda Sultan utus takziah kepada Perancis

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Julai – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menghantar titah perutusan takziah kepada Presiden Perancis, Francois Hollande berikutan dengan tragedi di Nice semasa mereka menyambut Hari Kebangsaan.

Dalam titah perutusan tersebut, Baginda berasa terkejut mendengar tentang tragedi di Nice itu. Negara Brunei Darussalam berdiri teguh dengan rakyat Perancis dan mengutuk perbuatan pengganas tersebut.

Baginda dan kerajaan serta rakyat Negara Brunei Darussalam menyampaikan ucapan takziah yang mendalam kepada kerajaan dan rakyat Perancis dan juga kepada keluarga mangsa tersebut dalam waktu yang menyedihkan ini.

Baginda mengakhiri titah perutusan tersebut dengan menyampaikan ucapan simpati yang mendalam kepada Presiden Francois Hollande.

Sementara itu, Kedutaan Negara Brunei Darussalam di Perancis mengesahkan semua warganegara Brunei yang berada di negara itu dalam keadaan selamat.

Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Negara Brunei Darussalam di Paris, Normashitah binti Haji Mohd Jaafar ketika dihubungi RTB berkata, tidak ada warganegara Brunei yang terlibat dalam tragedi tersebut.

Menurut beliau, Kedutaan Besar Negara Brunei Darussalam telah menghubungi semua warganegara Brunei Darussalam termasuk penuntut-penuntut yang telah berdaftar di Kedutaan Besar Negara Brunei Darussalam di Perancis tidak berada di kawasan terbabit dan berada dalam keadaan selamat dan baik.

Pihak kedutaan sentiasa memantau perkembangan mengenai kejadian ini.

Sekiranya terdapat warganegara Brunei Darussalam memohon bantuan atau pun maklumat bolehlah menghubungi Kedutaan Besar Negara Brunei Darussalam di Paris melalui 0033610375955.

ARTIKEL YANG SAMA