Baginda Sultan utus takziah kepada Turki

Baginda Sultan utus takziah kepada Turki

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Jun – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menghantar titah perutusan takziah kepada Presiden Republik Turki, Recep Tayyip Erdogan berikutan dengan serangan bom dan tembakan di Lapangan Terbang Atartuk, Istanbul baru-baru ini.

Dalam titah perutusan kepada Presiden Erdogan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berasa terkejut mengetahui tentang serangan berkenaan lebih-lebih lagi di bulan Ramadan ini.

Negara Brunei Darussalam berdiri teguh bersama-sama dengan rakyat Turki dalam menghadapi keadaan yang menyedihkan ini dan mengutuk serangan pengganas tersebut dan seterusnya menyampaikan titah ucapan takziah yang amat mendalam kepada Presiden Erdogan dan juga rakyat Turki terutama sekali kepada keluarga yang terlibat dalam kejadian tersebut. Pada menghadiri titah perutusan takziah tersebut, Baginda menyampaikan ucapan simpati yang amat mendalam kepada Presiden Erdogan.

Sementara itu, Radio Televisyen Brunei (RTB) melaporkan, susulan kejadian letupan bom di Lapangan Terbang Atartuk, Istanbul, rakyat Negara Brunei Darussalam yang berada di negara tersebut dilaporkan dalam keadaan selamat.

Duta Besar Negara Brunei Darussalam ke Republik Turki, Haji Mohd Sahrip bin Haji Othman mengesahkan perkara tersebut ketika dihubungi RTB.

Katanya, bagi rakyat Negara Brunei Darussalam yang memerlukan bantuan atau maklumat boleh menghubungi Kedutaan Besar melalui talian hotline 905330325454.