Bahang El-Nino jejaskan petani

Bahang El-Nino jejaskan petani

BANGKOK, 1 April – Bahang panas akibat fenomena El-Nino bukan sahaja memburukkan keadaan kering di sini, malah di sebahagian negara ASEAN turut menyaksikan keadaan yang lebih teruk.

Kerajaan Thailand hari ini mengisytiharkan 23 daripada 76 wilayahnya sebagai zon bencana akibat kemarau, yang paling teruk melanda negara itu dalam masa dua dekad.

Lebih 3,727 buah kampung terjejas akibat kemarau dan memerlukan operasi bantuan kerajaan, menurut Jabatan Mitigasi dan Pencegahan Bencana. Jumlah kampung terjejas meningkat mendadak dari sekitar 2,500 kampung dalam pertengahan Mac.

Untuk membantu mengurangkan keadaan kering, beberapa buah majlis perbandaran mula mengorek terusan untuk melencongkan air dari sungai dan sumber air asli, menurut jabatan perhubungan awam kerajaan.

Manakala lebih daripada 380 lori air dikerahkan hari ini ke kawasan paling teruk terjejas.

Dalam pada itu, tiga orang petani terbunuh dan 30 cedera apabila polis melepaskan tembakan ke arah pembantah yang menuntut bantuan kemarau di selatan Filipina hari ini.

Mereka menghalang lebuh raya di Kidapawan City, 955km ke selatan Manila, semenjak Rabu bagi menuntut kerajaan membantu masyarakat perladangan yang terjejas akibat kemarau di kawasan selatan Mindanao.

Di Hanoi pula, ketika China membuka sebuah daripada enam empangannya di bahagian atas Sungai Mekong bulan lalu untuk membantu negara-negara Asia Tenggara yang kekeringan dan mencatatkan rekod kemarau, ia dipuji sebagai diplomasi kebajikan air.

Namun bagi pengkritik empangan hidroelektrik dibina di Mekong atas kebimbangan kerajaan dan aktivis, ia merupakan tindakan untuknya sendiri, yang bersama dengan pengeksport hidro kuasa Laos, membantu memburukkan lagi masalah air dan alam sekitar kawasan itu.

Kebanyakan daripada negara di Asia Tenggara mengalami kemarau terburuk dalam tempoh 20 tahun atau lebih. Berpuluh-puluh juta orang di rantau itu terjejas dengan tahap air rendah Sungai Mekong, delta penghasil beras, yang mengalirkan air ke dalam Laos, Thailand, Kemboja dan Vietnam.

Air bersih semakin sukar didapati bagi beratus-ratus ribu orang di Vietnam dan Kemboja, dan pengurangan air untuk penyaliran juga menjejaskan pertanian, khususnya penanaman padi di Thailand, di mana tanah untuk penanaman padi semakin berkurangan tahun ini.

Vietnam menganggarkan 400,000 hektar sudah terjejas akibat pengaliran air masin dengan kira-kira 166,000 hektar tidak subur. Tanah terjejas terdiri daripada hampir 10 peratus kawasan penanaman padi negara di Delta Mekong, kawasan penghasil beras utama. Paras air di Sungai Tonle Sap yang melepasi istana diraja di ibu negara Kemboja, Phnom Penh, sudah berkurangan kepada tahap 50 tahun terendah.

Ramai yang menuding fenomena iklim El-Nino sebagai puncanya, yang mengakibatkan keadaan kering dan panas luar biasa di seluruh dunia.

Namun pejuang alam sekitar dan beberapa orang pegawai mengatakan situasi itu diburukkan lagi oleh 10 empangan di sungai utama Mekong yang dibina dalam masa dua dekad lalu, sekurang-kurangnya kerana sebahagiannya mengurangkan musim banjir pada masa hujan dan memerangkap sedimen, menjadikan delta muara sungai itu lebih terdedah kepada pencemaran air masin.

“Saya hilang semua pelaburan. Keluarga saya tidak punya apa-apa,” kata Thach Tai, seorang petani dari kampung Ngoc Bien di wilayah Tra Vinh, selatan Vietnam, ketika dia meninjau sawah padinya yang kering kontang seluas separuh ekar.

“Saya tidak tahu apa mahu dibuat. Dan tidak ada apa-apa yang saya boleh buat untuk membantu sawah padi saya.”

Tai mengatakan bapanya yang berusia 70 tahun dan beberapa orang warga emas di kampung lebih 180 buah keluarga itu tidak pernah menyaksikan kemarau dan penggaraman air sedemikian.

Fenomena El-Nino semasa merupakan satu daripada kejadian iklim paling kuat dalam masa 60 tahun yang ‘belum lagi berakhir,’ kata Penolong Pengarah Am Pertubuhan Makanan dan Pertanian PBB, Kundhavi Kadiresan. Ia merupakan faktor utama bagi kemarau, namun ‘empangan sepanjang Mekong boleh jadi dan pastinya menyebabkan beberapa masalah, tambahnya.